Kuala Lumpur: Perkahwinan antara warganegara asing beragama Islam dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu tidak mengubah keturunan warganegara asing itu kepada keturunan Melayu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau menegaskan keturunan individu berkenaan kekal mengikut asal usul mereka dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan membuat penentuan keturunan bagi warga asing terbabit.
“Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas dalam jawapan bertulis saya di Dewan Rakyat semalam. Namun, terdapat segelintir laporan yang menggunakan tajuk sehingga boleh menimbulkan salah faham dan memberikan gambaran mengelirukan kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Sehubungan dengan itu, Saifuddin Nasution turut mengemukakan salinan soalan dan jawapan penuh berhubung isu berkenaan bagi membolehkan orang ramai membuat rujukan serta penelitian yang tepat.
Beliau turut menyeru masyarakat agar tidak mudah membuat kesimpulan berasaskan tajuk berita semata-mata, sebaliknya menyemak fakta dan memahami konteks sebenar sebelum berkongsi sebarang maklumat.
“Semak fakta, fahami konteks sebenar dan kongsikan maklumat yang tepat agar kita tidak menjadi sebahagian daripada penyebaran maklumat yang mengelirukan,” katanya.
Saifuddin Nasution dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam berkata perkahwinan seseorang warga asing beragama Islam dengan orang Melayu Islam di negara ini tidak akan mengubah status keturunan asal mereka.
Beliau bagaimanapun memaklumkan sekiranya kelahiran berlaku hasil daripada perkahwinan yang sah di sisi undang-undang Malaysia antara warganegara asing beragama Islam dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu, ibu atau bapa kanak-kanak boleh memilih sama ada kanak-kanak itu didaftarkan mengikut keturunan ibu atau bapa.
Menteri Dalam Negeri itu menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai sama ada warganegara asing beragama Islam yang berkahwin dengan warganegara Malaysia berbangsa Melayu boleh dianggap sebagai bumiputera.
Pang turut bertanya sama ada mereka layak atau tidak untuk menikmati hak atau keistimewaan yang diberikan kepada bumiputera serta syarat yang perlu dipenuhi untuk mendapatkan kelayakan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




