am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia mengkaji keperluan pindaan lanjut Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) bagi memperkukuh kuasa Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), khususnya dalam mengawal selia Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata cadangan itu akan diteliti bagi menentukan sama ada peruntukan sedia ada perlu diperkukuh untuk memastikan tadbir urus CMO lebih telus, selain melindungi kepentingan pemegang hak cipta dan pengguna karya.
Katanya, pindaan terdahulu kepada Akta 332 sudah memberikan kuasa yang agak luas kepada Pengawal Hak Cipta, khususnya menerusi Seksyen 27M untuk mengeluarkan garis panduan berkaitan pengoperasian CMO.
“Garis panduan yang dijadualkan berkuat kuasa sepenuhnya pada 17 Januari lalu masih belum dapat dilaksanakan susulan bantahan dan tindakan semakan kehakiman oleh tiga CMO pada 16 April 2025, dengan pendengaran substantif dijadualkan pada 24 November ini.
“Kita tidak menafikan bahawa kita sedia untuk mengkaji sama ada perlu atau tidak kita perkukuhkan lagi punca kuasa yang jelas dalam Akta Hak Cipta,” katanya pada Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung kesediaan kerajaan untuk melaksanakan pindaan lain kepada akta berkenaan bagi memperkukuh bidang kuasa Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Armizan berkata, garis panduan itu antara lain menetapkan bahawa sebarang semakan atau pindaan kadar tarif perlu dimaklumkan dan mendapat kelulusan Pengawal Hak Cipta.
Tambahnya, KPDN turut melaksanakan sesi libat urus bagi meneliti isu dan cabaran berkaitan perlindungan hak cipta susulan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk penggunaan karya berhak cipta untuk melatih teknologi berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




