PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 4 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kembali digandingkan bersama memulakan kempen dengan langkah kanan selepas membenam Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Obaekvej, Denmark, hari ini.
Aaron-Wooi Yik menewaskan pasangan No. 8 dunia yang berasal dari Jepun itu 21-19, 14-21, 21-11 dalam masa 51 minit di SJF Bank Arena.
Kejohanan berstatus Super 750 itu menjadi penampilan sulung Aaron-Wooi Yik selepas kedua-duanya dipisahkan buat tempoh beberapa bulan, namun, prestasi baik muncul selaku naib juara pada Kejohanan Dunia di India, Ogos lalu, menyatukan kembali pasangan tersebut.
Memuatkan artikel berkaitan…
Gandingan senior itu yang masih bergelar beregu lelaki No. 1 Malaysia bakal berdepan sama ada satu lagi pasangan negara, Aaron Tai-Roy King Yap atau beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Lee Jong Min di peringkat seterusnya.
Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing turut melakar kemenangan apabila menyingkirkan wakil Sepanyol, Ruben Garcia-Lucia Rodriguez, 21-18, 21-16 dalam masa 37 minit.
Kejayaan itu bakal menemukan beregu profesional tersebut dengan pasangan handalan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran di peringkat 16 terbaik.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Jepun, Koki Watanabe 6-21, 19-21 dalam masa 40 minit.
Beregu campuran, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut gagal meneruskan cabaran apabila akur kepada pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan menerusi pertarungan tiga set 21-19, 16-21, 19-21 dalam masa 55 minit. – UTUSAN




