am@hmetro.com.my
Bangi: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengungkapkan rasa jijik terhadap kegagalan sistem antarabangsa membela nasib rakyat Palestin yang terus dizalimi berikutan kependudukan rajim Zionis sejak 70 tahun lalu.
Perdana Menteri antara lain mempersoalkan sikap hipokrit golongan yang berselindung di sebalik sistem berkenaan, tetapi sering memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia.
“Perkara yang begitu hipokrit ialah kegagalan masyarakat antarabangsa dan saya perlu bercakap dalam kapasiti sebagai Perdana Menteri. Saya faham perkara ini, tetapi perlu menyatakan rasa jijik yang amat sangat terhadap kegagalan sistem antarabangsa.
“Apakah ertinya aturan antarabangsa tanpa demokrasi?
Demokrasi milik siapa? Bagaimana pula dengan hak asasi manusia kita, hak asasi manusia siapa yang dimaksudkan, sedangkan rakyat di Palestin diperlakukan seperti haiwan dan hamba abdi,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sumud Nusantara sempena Kongres Sumud Antarabangsa di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Selain itu, Ahli Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotila, Thiago Avila dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia merangkap Ketua Pengarah Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia menolak amalan kolonialisme atau imperialisme diangkat sebagai suatu kelaziman mengambil kira sejarah negara yang pernah dijajah sebelum ini.
Selain itu, katanya, latar belakang agama dan bangsa tidak wajar dijadikan alasan untuk ‘membenarkan’ kezaliman atau membiarkan penindasan berterusan serta kekejaman terus dilakukan terhadap insan tidak berdosa.
“Kita (rakyat Malaysia) membesar bersama ibu bapa dan datuk nenek yang berjuang menentang kolonialisme dan imperialisme. Kita berjuang menentang ketidakadilan, penindasan dan penjajahan.
“Namun, kita kini berada dalam keadaan masyarakat seolah-olah mengetepikan prinsip sama yang diperjuangkan selama beberapa dekad dalam menentang kolonialisme dan imperialisme.
“Mengapa apabila membabitkan isu Palestin pendekatan pertimbangan dan keputusan berbeza pula diambil? Saya bertanya kepada ramai rakan sejawat di Eropah, Amerika Syarikat dan pelbagai negara lain, adakah kerana mereka beragama Islam, berbangsa Arab atau rakyat Palestin?” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




