MPV terbabas, terbakar di Jalan Jerantut–Kuala Tahan, pemandu 'hilang'

MPV terbabas, terbakar di Jalan Jerantut–Kuala Tahan, pemandu 'hilang'

am@hmetro.com.my

Jerantut: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai jenis Toyota Wish berwarna putih terbabas sebelum terbalik dan terbakar sepenuhnya di Kilometer 26, Jalan Jerantut–Kuala Tahan, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof, berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.20 pagi ketika kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Kuala Tahan menuju ke Jerantut.

Beliau berkata, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas sendiri, terbalik dan terbakar.

“Bagaimanapun, tiada mangsa ditemukan di lokasi kejadian manakala identiti pemandu serta pemilik kenderaan masih belum dikenal pasti,.

“Kemungkinan individu di dalam kenderaan itu disyaki melarikan diri, ” katanya dalam kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis meminta pemandu dan pemilik kenderaan berkenaan tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.

“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemandu dan pemilik kenderaan serta menentukan punca sebenar kejadian.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Zuhairi Bani, di talian 016-959 1885,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top