sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain warisan baharu negara, Aryssa Mahrt mencuri tumpuan apabila jaringannya seawal minit kelima membantu Malayan Tigress menewaskan Arab Saudi 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Qatar, awal pagi tadi.
Gol tunggal itu sudah cukup untuk skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff membalas kekalahan 0-2 kepada lawan sama dalam pertemuan pertama pada 9 Oktober lalu, sekali gus menutup siri persahabatan itu dengan kemenangan.
Aryssa menghukum kesilapan penjaga gol Arab Saudi, Mona Al Owais, untuk meletakkan Malaysia di depan ketika perlawanan baru memasuki lima minit pertama.
Jaringan awal itu memberi suntikan semangat kepada skuad negara untuk mengharungi baki perlawanan, dengan pemain Malayan Tigress berusaha mengekalkan kelebihan berdepan lawan yang sebelum ini menewaskan mereka.
Selepas mendahului, Malaysia mempamerkan disiplin untuk mempertahankan benteng pertahanan daripada dibolosi, sekali gus memastikan jaringan Aryssa kekal menjadi pemisah sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu hadir hanya empat hari selepas kekalahan dalam aksi pertama di Aspire Academy, Qatar, sekali gus memperlihatkan tindak balas positif skuad negara dalam pertemuan kedua menentang pasukan Asia Barat berkenaan.
Kejayaan itu juga menjadi suntikan keyakinan buat Malayan Tigress untuk meneruskan usaha meningkatkan prestasi menerusi pendedahan antarabangsa, selain memberi
ruang kepada pemain baharu seperti Aryssa membuktikan kemampuan bersama skuad kebangsaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




