Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan sesekali berdiam diri terhadap penyelewengan dan penyalahgunaan dana negara, biarpun terpaksa berdepan kecaman serta kritikan pelbagai pihak.
Malah, Anwar secara terbuka menyatakan bahawa sesiapa yang mahu beliau menutup mata terhadap perbuatan tersebut perlu mencari Perdana Menteri lain kerana beliau tidak sanggup membiarkan penipuan terus berlaku.
Menurutnya, tindakan kerajaan membanteras penyelewengan sebelum ini mengundang kemarahan segelintir pihak, namun perkara itu tidak akan menghalangnya daripada meneruskan usaha berkenaan.
“Ada yang setuju, banyak yang marah. Saya dicerca, dimaki kerana mengambil tindakan. Tapi takkan nak biar.
“Saudara, nak dapatkan RM100 sehari, seksa. Kena kerja, tinggal keluarga. Kemudian orang senang-senang ambil bilion, nak suruh saya tutup? No.
“Kalau orang nak suruh saya diam, cari Perdana Menteri lain. Saya tidak sanggup dan biar penipuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Kementerian Pengangkutan, hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta isu membabitkan Tabung Haji dan FELDA yang menurutnya perlu ditangani bagi memastikan pentadbiran negara bebas daripada penyelewengan dan salah guna kuasa.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan perlu terus mengutamakan keperluan asas rakyat termasuk pendidikan, kesihatan dan kebajikan, khususnya golongan berpendapatan rendah yang bekerja keras mencari rezeki.

Anwar turut mengingatkan bahawa pemimpin seharusnya memahami kesusahan rakyat dan bukannya menjadikan kedudukan sebagai peluang untuk memperkayakan diri.
Beliau juga menekankan kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan masyarakat berbilang kaum yang mampu bekerjasama tanpa mengira latar belakang.
“Negara ini hebat. Tengok pemandu teksi, Melayu, Cina, India boleh duduk bersama, bangkitkan masalah bersama.
“Mengapa kita nak biarkan orang-orang yang merosakkan kita itu tentukan masa depan kita?” katanya lagi.






