am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan ibu bapa dan penjaga tidak membenarkan kanak-kanak bermain dengan bebola squishy dumpling (ladu kenyal).
Selain itu, PIBGN juga meminta supaya pihak sekolah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak membenarkan penjualannya di sekitar kawasan sekolah sehingga aspek keselamatan produk berkenaan disahkan pihak berkuasa.
Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, pihak kerajaan juga dicadangkan mengambil tindakan sewajarnya terhadap produk berkenaan termasuk mempertimbangkan larangan penjualan sekiranya hasil pemeriksaan mengesahkan ia mengandungi bahan yang membahayakan pengguna.
“Ini memandangkan pihak kerajaan Malaysia belum membuat kesahihan dan keselamatan produk itu, selain daripada apa yang terdapat dalam laporan siasatan di United Kingdom (UK) mengenai unsur berbahaya yang boleh menyebabkan iritasi pada kulit, mulut dan badan.
“Justeru, adalah lebih selamat kita mencadangkan ibu bapa atau penjaga tidak membenarkan kanak-kanak bermain dengan bebola berkenaan,” katanya.
Mohamad Ali berkata, cadangan dikemukakan pihaknya adalah mengambil kira laporan keselamatan produk seumpama itu di UK yang mendapati sesetengah mainan tiruan mempunyai kandungan bahan kimia yang melebihi had ditetapkan.
Menurutnya, langkah pencegahan wajar diambil sementara status keselamatan produk yang berada di pasaran Malaysia diperjelaskan pihak berkuasa.
Beliau berkata, pihak sekolah dan PBT juga disaran mengambil langkah dengan tidak membenarkan penjualan squishy dumpling di persekitaran sekolah bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada produk yang keselamatannya masih menjadi persoalan.
“Pihak kerajaan dan agensi berkaitan juga perlu mengambil tindakan, termasuk mempertimbangkan pengharaman sekiranya produk itu terbukti mengandungi bahan yang berbahaya kepada kanak-kanak,” katanya.
Isu itu, katanya, perlu diberi perhatian kerana terdapat perbezaan kualiti antara produk asli dan produk tiruan yang menggunakan nama atau bentuk squishy dumpling, sekali gus memerlukan pengguna lebih berhati-hati ketika membuat pembelian.
Menurutnya, berdasarkan maklumat kajian dan pengujian yang dirujuk daripada UK, sesetengah produk tiruan dilaporkan mengandungi benzena pada permukaan luaran pada kepekatan melebihi had keselamatan ditetapkan.
“Benzena ialah bahan yang boleh memudaratkan kesihatan, manakala sentuhan dengan bahan berkenaan boleh menyebabkan iritasi pada kulit, mata, hidung dan tekak.
“Selain risiko bahan kimia, sesetengah produk juga dilaporkan mengandungi manik air sebagai bahan pengisi yang boleh menimbulkan risiko serius jika tertelan kanak-kanak,” katanya.
Mohamad Ali berkata, berdasarkan kajian, ibu bapa juga perlu mengelakkan pembelian produk yang mempunyai bau kimia kuat atau menunjukkan tanda mudah pecah, selain tidak membenarkan kanak-kanak memanaskannya dalam ketuhar gelombang mikro.
Katanya, apa yang penting ibu bapa perlu memastikan maklumat keselamatan dan pelabelan pada pembungkusan diperiksa sebelum sesuatu mainan diberikan kepada anak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




