Liga Takraw Nasional Mekdi bukan sekadar kejohanan biasa

Liga Takraw Nasional Mekdi bukan sekadar kejohanan biasa

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyertaan pasukan dari pelbagai negeri menjadi bukti Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 bukan sekadar kejohanan pembangunan biasa, sebaliknya berpotensi muncul sebagai platform berprestij yang mampu berdiri setanding kejohanan Tier 1 di negara ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sepaktakraw Kedah (PESTAK), Hazril Ezni Zulkapli berkata, kehadiran pasukan dari luar zon utara membuktikan kejohanan itu mempunyai daya tarikan tersendiri dalam kalangan pasukan yang mahu mengembangkan bakat pemain muda.

Menurutnya, undian yang menyaksikan penyertaan pasukan dari Perak, Johor, Terengganu dan Kelantan memperlihatkan skala persaingan yang lebih luas, sekali gus meningkatkan nilai kejohanan berkenaan.

“Kalau saya tengok daripada segi undian dan pasukan yang bertanding, kejohanan ini bukan tertakluk kepada pasukan utara sahaja.

“Kita ada pasukan dari Perak, SSTMI Johor, Terengganu dan Kelantan. Ini membuktikan kejohanan ini antara kejohanan pembangunan yang paling berprestij.

“Tidak keterlaluan kalau saya katakan kejohanan ini mampu berdiri setanding kejohanan Tier 1 yang ada di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Hazril merakamkan penghargaan kepada McDonald’s (McD), Harian Metro dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kerana memilih Kedah sebagai salah satu tuan rumah bagi penganjuran zon utara.

Katanya, PESTAK komited memberikan kerjasama terbaik bagi memastikan penganjuran berjalan lancar, selain memastikan pasukan yang bertandang mendapat sambutan sewajarnya.

“Kami sangat menghargai pemilihan Kedah sebagai tuan rumah dan akan cuba memberikan kerjasama terbaik kepada penganjuran ini.

“Kami mengalu-alukan kedatangan semua pasukan dan mengucapkan selamat bertanding. Insya-Allah, kita akan berjumpa di sana,” katanya.

Hazril turut memberi jaminan Kedah dan Sungai Petani bersedia menyambut kehadiran pasukan yang bertanding, malah berseloroh mengenai tarikan makanan di sekitar lokasi kejohanan.

Katanya, selain memberikan tumpuan kepada persaingan di gelanggang, pasukan dan pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai pilihan makanan menarik sepanjang berada di kawasan berkenaan.

Sementara itu, pendaftaran bagi Zon Timur yang bakal berlangsung 20 hingga 21 November di Terengganu masih lagi dibuka.

Pasukan yang berminat boleh mendaftarkan pasukan di https://forms.gle/ofTG1orbEkhYbo6w6 dan tarikh tutup pada 1 November ini atau sehingga kuota penuh.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM60,000, termasuk RM5,000 kepada juara zon, sekali gus memberi insentif kepada pasukan untuk merebut peluang beraksi dalam pertandingan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top