Kes Jangkitan Pernafasan Melonjak 167 Peratus Susulan Kemerosotan Kualiti Udara

Kes Jangkitan Pernafasan Melonjak 167 Peratus Susulan Kemerosotan Kualiti Udara

Kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) melonjak 167.21 peratus dalam tempoh seminggu susulan kemerosotan kualiti udara, berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 7,065 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-36 berbanding 2,644 kes pada minggu sebelumnya menerusi pemantauan di 78 fasiliti kesihatan sentinel.

Menurutnya, pemantauan penyakit berkaitan jerebu itu turut memberi tumpuan kepada kes asma dan konjunktivitis bagi memastikan tindakan kesihatan awam dapat dilaksanakan.

“Menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), KKM memperkukuh tindakan kesihatan awam susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan kemerosotan kualiti udara akibat pembakaran terbuka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Khamis.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung inisiatif KKM menangani kesan jerebu terhadap kesihatan awam dan kerjasama rentas agensi dalam pemantauan kualiti udara.

Dr Dzulkefly berkata, KKM turut memberikan nasihat teknikal secara berterusan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya aktiviti luar ditangguhkan apabila bacaan IPU melebihi 100.

Beliau berkata, cadangan penutupan sekolah juga diberikan sekiranya bacaan IPU melebihi 200 bagi melindungi pelajar daripada kesan pencemaran udara.

Dalam pada itu katanya, KKM menambah bekalan peralatan perubatan bagi memperkukuh kesiapsiagaan fasiliti kesihatan menghadapi kemungkinan peningkatan penyakit berkaitan jerebu.

Penambahan itu menurut beliau, membabitkan 841 unit alat bantuan pernafasan jenis aerochamber dewasa, 396 unit untuk kanak-kanak serta 576 mesin nebulizer.

“Khusus bagi memastikan kesiapsiagaan sistem kesihatan, KKM turut memperkukuhkan keupayaan fasiliti kesihatan melalui penyediaan ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang diperlukan untuk merawat penyakit berkaitan jerebu,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, Bilik Gerakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan sejak 4 September lalu bagi menyelaras pemantauan dan tindakan terhadap kesan jerebu kepada kesihatan awam.

Menurutnya, KKM juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan amaran awal serta langkah pencegahan disampaikan kepada masyarakat.


Scroll to Top