farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong enggan menarik balik kenyataannya berhubung perbezaan peruntukan dan perbelanjaan RM2.1 bilion bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Presiden MCA itu sebaliknya menuntut penjelasan terperinci diberikan kepada orang ramai.
Katanya, isu peruntukan itu dibangkitkan bagi membersihkan nama kerajaan susulan kenyataan media dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP).
“Kalau orang luar mungkin tidak faham apa sebenarnya berlaku. Sekiranya ia tidak dijelaskan melalui nota kaki, ia akan membawa pemahaman dan persepsi berlainan,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.
Ka Siong berkata, pelaksanaan projek kerajaan tertakluk kepada prosedur kewangan yang ketat, termasuk kelulusan Kementerian Ekonomi bagi perubahan siling peruntukan serta Kementerian Kewangan (MOF) bagi pengeluaran waran perbelanjaan.
Katanya, peruntukan lazimnya disalurkan secara berperingkat mengikut keperluan dan kemajuan projek, manakala sebarang pelarasan perlu mendapat kelulusan sewajarnya.
“Kalau ada perubahan dari segi jumlah yang diluluskan, ia mesti mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi untuk meningkatkan siling. Kedua, mesti mendapat kelulusan daripada MOF untuk waran. Kalau tidak, siapa nak bayar?” katanya.
Mengulas desakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin supaya beliau menarik balik kenyataannya dalam tempoh 24 jam, Ka Siong menegaskan beliau tidak menuduh wang berkenaan diselewengkan dan mempersoalkan asas tuntutan itu.
“Kalau kes ini betul-betul sakau, tangkap orang itu. Tak ada masalah. Tapi kalau perkara yang mustahil berlaku, apa yang patut kita terangkan ialah prosedur kita memang tak boleh,” katanya.
Beliau turut menegaskan tidak berniat menyalahkan MOF atau KKDW, sebaliknya mahu memastikan projek dilaksanakan dengan baik dan pegawai kerajaan tidak terpalit dengan persepsi negatif tanpa penjelasan yang lengkap.
Terdahulu, Zhemin pada sidang media di Pusat Media Parlimen, memberitahu Ka Siong diberi tempoh 24 jam untuk menarik balik kenyataan bahawa KKDW menerima peruntukan menerusi bajet tambahan.
Katanya, hasil semakannya menerusi hansard persidangan Dewan Rakyat bagi tempoh 2023 hingga 2025 mendapati tiada bajet tambahan diperuntukkan kepada KKDW dalam tempoh berkenaan.
“Kalau dalam masa 24 jam dia tak tarik balik kenyataan ini, saya akan rujuk Ahli Parlimen Ayer Hitam ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Sebab Hansard hari ini belum keluar lagi. Saya tunggu hansard keluar, saya akan rujuk Ahli Parlimen Ayer Hitam ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




