Siti Khadijah nafi hubungan cinta lokasi dengan Amir Ahnaf

Siti Khadijah nafi hubungan cinta lokasi dengan Amir Ahnaf

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Siti Khadijah Halim menegaskan hubungannya dengan pelakon, Amir Ahnaf tidak lebih daripada sekadar rakan sekerja dan sahabat dalam industri seni.

Siti Khadijah, 29, berkata dia tidak pernah menggunakan taktik ‘menjual kisah cinta’ atau gimik cinta lokasi semata-mata untuk mempromosikan mana-mana naskhah drama atau filem lakonannya.

“Jujurnya saya memang berkawan sahaja dengan dia. Kalau ada rezeki, adalah. Saya peribadi tak pernah sekali pun nak ‘jual cinta’ untuk promosi projek.

“Saya mengutamakan hasil kerja dan persahabatan dahulu. Daripada persahabatan erat itu, mungkin penonton nampak keserasian (chemistry) kami yang nampak lebih akrab dan hidup.

“Insya-Allah saya kuat, tiada bibit-bibit cinta lokasi berlaku,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada pelancaran kedai fizikal pertama NADA, di sini, hari ini.

Diminta mengulas mengenai tindakan Amir yang pernah membuat pengakuan secara langsung di media sosial bahawa Siti Khadijah adalah ‘crush’ atau wanita pujaan hatinya, pelakon drama Khadam itu menganggap kenyataan berkenaan sekadar usikan mesra dan pujian biasa.

“Saya ada nampak sesi live itu. Pada saya, ungkapan ‘crush’ itu sekadar pujian biasa sahaja. Ia tidak membawa maksud apa-apa yang serius,” katanya.

Siti Khadijah turut menyifatkan tindakan netizen dan peminat yang suka ‘memadankan’ hubungan sebagai sesuatu yang lumrah dalam industri seni terutama apabila bergandingan dengan pelakon lelaki berstatus bujang.

“Bukan zaman sekarang sahaja, zaman sebelum ini pun penonton dah biasa ‘ship’ kan pasangan pelakon. Bila penonton terbawa-bawa dengan watak kami, bagi saya itu perkara normal.

“Mengenai dakwaan orang nampak sisi berbeza atau lebih mesra bila di samping dia, mungkin sebab perwatakan Amir yang kelihatan dominan.

“Saya sendiri seorang agak dominan, tetapi bila berkerja bersama, orang nampak dinamik itu. Lagipun dia kerap ada di set, sebab itu orang selalu nampak kami bersama,” katanya.

Katanya, fokus utamanya kini padat dengan jadual kerja harian dan tidak tergesa-gesa mencari pasangan hidup.

“Hari-hari saya sibuk dengan kerja. Untuk berkenalan dengan sesiapa itu ada, tetapi saya tak mencari secara beria-ia.

“Saya percaya orang yang tepat akan hadir pada waktu yang tepat. Lagipun siapalah kita untuk menolak ketentuan Tuhan, sebab yang memegang hati kita ialah Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top