puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memberi penjelasan berhubung isu royalti, ketelusan dan pembangunan industri muzik tanah air yang dibangkitkan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).
Dalam kenyataan media, RIM menegaskan beberapa fakta perlu diperbetulkan khususnya mengenai kutipan dan pengagihan royalti, peranan organisasi pengurusan kolektif (CMO), undang-undang membabitkan CMO serta arah tuju pembangunan industri.
Pengerusi RIM Rosmin Hashim berkata, ramai ahli Karyawan mendakwa tidak merasai peningkatan pendapatan daripada platform digital dan CMO ketika hasil industri meningkat, namun pengagihan royalti tertakluk atas pelbagai faktor.
Menurutnya, antaranya termasuklah hak yang diamanahkan kepada CMO, kadar royalti mengikut kontrak, penggunaan muzik sebenar, peraturan pengagihan CMO serta pendaftaran pemegang hak dengan CMO berkaitan.
“Pencipta karya dan rakaman yang memperoleh strim dan penggunaan tinggi oleh pengguna sememangnya akan menerima bahagian yang lebih besar berbanding pencipta karya dan rakaman yang kurang distrim atau kurang digunakan oleh pemegang lesen muzik.
“Oleh itu, pendapatan yang lebih rendah bagi segelintir pencipta tidak menafikan hakikat bahawa pencipta muzik Malaysia kini memperoleh lebih banyak royalti berbanding sebelum ini daripada platform digital dan CMO,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengenai kebimbangan artis veteran dan artis yang masih aktif berkaitan kelewatan atau ketidakjelasan pembayaran royalti, Rosmin berkata, Karyawan digesa mengenal pasti pihak yang menguruskan royalti terbabit sama ada syarikat rakaman, penerbit muzik atau CMO.
“Kenyataan umum mengenai pembayaran royalti yang lewat, tidak jelas atau tidak dapat dijelaskan, serta dakwaan bahawa maklumat pengiraan dan pengagihan kutipan tidak mencukupi, hanya menyebarkan tanggapan yang tidak tepat bahawa seluruh industri muzik mempunyai masalah akauntabiliti.
“Tanggapan sedemikian boleh memberikan kesan negatif terhadap pembuat dasar.
“Kebimbangan mengenai pembayaran royalti kepada artis tertentu perlu disiasat berdasarkan fakta dan situasi, dan bukannya dijadikan bukti bahawa keseluruhan sistem kutipan dan pengagihan royalti industri muzik tidak telus,” katanya.
Dalam pada itu, isu ketelusan laporan royalti turut dijelaskan apabila RIM mengesahkan laporan yang boleh diaudit sentiasa diserahkan kepada ahli CMO setiap kali pengagihan dibuat dengan lengkap.
Justeru, beliau meminta ahli Karyawan berurusan terus dengan pegawai CMO yang dilantik untuk sebarang pertanyaan atau pengesahan penyata.
Menurutnya, bagi memastikan semua penggiat seni menerima hak mereka, RIM menggesa Karyawan untuk mendedahkan senarai ahli.
“Ini bagi memudahkan CMO mengenal pasti mana-mana penggiat seni yang belum mendaftar serta turut menggalakkan kerjasama erat antara Karyawan bagi membantu artis memahami hak mereka,” katanya.
Mengenai sokongan muzik tempatan, Rosmin berkata, pihaknya bersetuju lagu tempatan perlu diberikan ruang yang meluas di radio, televisyen, platform digital dan premis komersial.
“Cadangan RIM untuk menubuhkan Dana Eksport Muzik Malaysia bertujuan menyokong penyertaan dalam pertunjukan muzik antarabangsa, promosi di luar negara, pemasaran digital dan kerjasama untuk membantu artis serta syarikat muzik Malaysia menembusi pasaran baharu.
“Cadangan ini bukan pengganti kepada pembangunan pasaran domestik, sebaliknya melengkapkan usaha tersebut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




