Tolong jangan kecam pemandu BYD berlebihan, takut esok lusa anak kita pula – Azhar Sulaiman

Tolong jangan kecam pemandu BYD berlebihan, takut esok lusa anak kita pula – Azhar Sulaiman

Pelakon Azhar Sulaiman menasihatkan orang ramai supaya tidak keterlaluan mengecam pemandu kereta elektrik BYD yang didakwa menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam kemalangan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Azhar, 55, berkata, kejadian itu turut memberi kesan kepadanya memandangkan pemandu berusia 24 tahun berkenaan sebaya dengan anak lelakinya, Andika Rees Pahamin.

May be an image of text

Menerusi hantaran di media sosial, beliau mengingatkan ibu bapa supaya tidak terlalu cepat mengecam individu terbabit, terutama jika mempunyai anak yang disyaki gemar memandu laju.

“Anak lelaki saya, Rees (Andika Rees Pahamin), sebaya dengan pemandu BYD itu, iaitu 24 tahun.
“Tolong jangan kecam pemandu BYD secara berlebihan kalau kita sendiri mempunyai anak yang kita syak suka memandu laju.
“Hari ini perkara ini menimpa dia, takut esok lusa terkena pada anak kita pula,” tulisnya.

Foto: Bernama

Dalam perkongsian sama, Azhar turut meluahkan rasa sedih terhadap tragedi yang menimpa semua pihak terlibat.

“Seluruh kejadian ini membuatkan saya berasa sedih mengenangkan semua yang terlibat. Sungguh malang kejadian ini,” luahnya.

Terdahulu, seorang penolong pengurus jualan bank, Raeven Goh, 24, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, lima tahun.

Mengikut pertuduhan, Goh didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu kereta elektrik BYD Seal di Jalan Kuching menghala ke Segambut pada 10 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh turut menafikan dua lagi pertuduhan, iaitu memandu secara melulu dan berbahaya serta gagal memberhentikan kenderaan selepas kemalangan.

Mahkamah membenarkan Goh diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan, selain mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 19 November depan untuk pengurusan kes.

Sumber: FB Azhar Sulaiman

Scroll to Top