FDS digantung sementara, perkhidmatan kesihatan diteruskan menerusi kaedah alternatif

FDS digantung sementara, perkhidmatan kesihatan diteruskan menerusi kaedah alternatif

mdroji@bh.com.my

Kuching: Perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak diteruskan menerusi kaedah penyampaian alternatif yang bersesuaian.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawa, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, langkah itu diambil susulan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak digantung sementara akibat tragedi nahas helikopter di Long Lellang, Baram, 8 September lalu yang mengorbankan lima nyawa.

Beliau berkata, antara kaedah yang digunakan sepanjang tempoh penggantungan itu ialah menggerakkan pasukan klinik bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) melalui jalan darat serta bot bagi kawasan yang boleh diakses menerusi sungai.

“Kerajaan akan terus menilai dan menambah baik kaedah penyampaian perkhidmatan kesihatan ke kawasan luar bandar dengan mengambil kira aspek keselamatan, keberkesanan dan kesinambungan perkhidmatan.

“Ini bagi memastikan masyarakat luar bandar terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Friday Belik (GPS-Krian) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak sedang merangka cadangan bagi menambah baik dan memperkasakan FDS secara menyeluruh untuk memastikan perkhidmatan berkenaan lebih selamat dan berkesan pada masa depan.

Menurutnya, pelan kontingensi antara agensi turut diaktifkan bagi memastikan rawatan kecemasan tidak terjejas sepanjang tempoh penggantungan operasi helikopter FDS.

“Pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) dari kawasan terpencil kini diselaraskan melalui aset udara alternatif kerajaan, termasuk Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan FDS akan merangkumi aspek keselamatan operasi, kesesuaian dan keupayaan aset udara, latihan serta kesiapsiagaan kecemasan, kebajikan dan perlindungan petugas, selain memperkukuh kaedah penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar.

FDS diperkenalkan di Sarawak pada 1973 bagi menangani cabaran geografi negeri itu, khususnya untuk menyediakan penjagaan kesihatan, kesihatan ibu dan anak serta MEDEVAC kepada penduduk di kawasan yang tidak boleh diakses melalui jalan raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top