PUTRAJAYA – Lima pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima pengiktirafan Fellowship Chartered Management Institute (FCMI) dari United Kingdom selepas menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan dan pentadbiran perniagaan.
Pengiktirafan berprestij itu membuktikan komitmen berterusan SPRM dalam melahirkan modal insan berkaliber yang memiliki kompetensi kepimpinan bertaraf antarabangsa.
Lima pegawai berkenaan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Pengarah SPRM Putrajaya, Datuk Mohd Shahril Che Saad; Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Samsul Salip dan Mohd Fazli Husin dari Bahagian Perisikan SPRM.
Majlis penyerahan sijil dan watikah pengiktirafan itu disempurnakan Pegawai Integriti Asia e University (AeU), Profesor Madya Dr Azmi Mohd di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan antarabangsa itu diraih menerusi kerjasama strategik AeU dengan Chartered Management Institute (CMI), United Kingdom.
“Pentauliahan bertaraf dunia ini membuktikan komitmen berterusan suruhanjaya dalam melahirkan modal insan berkaliber bertaraf antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
SPRM memaklumkan, Azmi dan Saiful Ezral menamatkan pengajian dalam program Sarjana Pengurusan (Master in Management).
Sementara itu, Mohd Shahril dan Samsul menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), manakala KPKPj Mohd Fazli sedang mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti berkenaan.
Azmi Mohd berkata, penganugerahan FCMI merupakan pengiktirafan kepimpinan tertinggi daripada CMI, sebuah badan profesional pengurusan terkemuka dunia yang ditubuhkan pada 1947 di United Kingdom.
“Gelaran Fellow ini bukan sahaja pengiktirafan tertinggi dalam bidang pengurusan dan kepimpinan, malah diiktiraf di lebih 170 buah negara di seluruh dunia,” katanya.
Pengiktirafan itu membolehkan pegawai kanan SPRM terbabit diiktiraf sebagai pakar rujuk dalam bidang pengurusan profesional serta menggunakan gelaran rasmi FCMI pada singkatan nama masing-masing.
Pentauliahan berkenaan turut menjadi penanda aras kompetensi dalam bidang pengurusan yang diiktiraf dalam sektor perkhidmatan awam dan korporat di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Majlis Konvokesyen AeU Ke-15 yang bakal meraikan graduan berkenaan dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober 2026 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.
Turut hadir, Pengurus Kanan (Strategic Alliances) AeU, Hazrani Hanafiah dan Pengurus Pusat APEL AeU, Syed Badrul Hisyam Syed Adanan.



