firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu skuad bawah 17 (B-17) lelaki negara membuktikan kemampuan sebenar apabila turun beraksi pada kempen Kelayakan Piala Asia B-17 dari 8 hingga 20 November ini di Selayang, bulan depan.
Gesaan itu diluahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan yang percaya skuad muda negara itu memiliki potensi besar untuk melakar kejayaan, sekali gus meneruskan perkembangan positif bola sepak remaja negara selepas beberapa pencapaian membanggakan di peringkat ASEAN.
Menurutnya, persembahan berkualiti perlu menjadi keutamaan pemain kerana beliau yakin permainan yang baik mampu membuka laluan kepada keputusan positif dalam kejohanan berkenaan.
“Harapan kita ialah mereka dapat bermain dengan baik. Permainan yang baik tentu akan menghasilkan keputusan yang baik.
“Kita harap mereka dapat melakukan sesuatu seperti skuad B-19 sebelum ini (layak ke pusingan akhir) bagi membuktikan bahawa kita berada di landasan yang betul untuk pergi lebih jauh, bukan hanya di peringkat ASEAN,” katanya.
Ab Ghani berkata, kejayaan pasukan remaja negara sebelum ini turut memberi petanda positif terhadap perkembangan bola sepak Malaysia, termasuk kelayakan skuad B-19 yang dibarisi Syukor Adan ke pusingan seterusnya.
Beliau melihat skuad B-17 lelaki juga mempunyai potensi besar berdasarkan kemampuan yang ditunjukkan sebelum ini dan berharap kelebihan beraksi di laman sendiri dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Katanya, FAM kini mahu memastikan pembangunan bola sepak negara dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberikan perhatian serius kepada setiap peringkat umur dan kejohanan yang disertai.
“Kita mahu melihat perubahan dalam FAM. Apabila bercakap mengenai bola sepak, semua peringkat umur perlu bersedia untuk mencapai hasil yang baik.
“Kita sedang bergerak ke arah itu bagi memastikan setiap pasukan, dalam apa juga kejohanan, diberikan perhatian serius untuk membawa nama negara,” katanya.
Dalam kempen kelayakan kali ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama empat lagi pencabar iaitu India, Palestin, Singapura dan Guam di mana kesemua aksi diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Hanya juara kumpulan sahaja akan layak ke pusingan akhir tahun depan yang dijadual berlangsung di Uzbeskitan pada 12-29 Mei 2027.
© New Straits Times Press (M) Bhd




