Che Adam terima pengiktirafan MBOR selepas derma darah di 15 lokasi sejak 2023

Che Adam terima pengiktirafan MBOR selepas derma darah di 15 lokasi sejak 2023

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menjelajah 15 lokasi di seluruh negara sejak 2023 demi menjayakan misi menderma darah, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, melengkapkan usaha itu hari ini di Pusat Darah Negara (PDN), di sini.

Misi menerusi projek Derma Darah Tanpa Sempadan: My Blood Donation Trans City bertemakan Infaq Darah Demi Ummah itu melayakkan beliau diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pencapaian First To Complete Blood Donation In All Capital City.

Berkongsi perjalanannya, Che Adam yang sudah menderma darah lebih 100 kali berkata, inisiatif berkenaan bertujuan membudayakan amalan menderma darah, khususnya dalam kalangan belia dan penderma baharu.

“Misi ini saya bermula di Kuantan, Pahang, pada 2023 dan berakhir hari ini di Kuala Lumpur, selepas saya melengkapkan pendermaan darah di 15 lokasi seluruh negara.

“Jadi tujuan utama ataupun signifikan kita buat program ini adalah untuk membentuk ataupun membudayakan derma darah dalam kalangan belia-belia, terutamanya penderma darah baharu.

“Seperti dimaklumkan Pengarah PDN, jumlah penderma darah di Malaysia masih rendah, iaitu hanya lebih dua peratus,” katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan ‘Kami Penderma Darah Malaysia’ di Pusat Darah Negara di Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya APM, Mohammad Abiddin Abd Rahman dan wakil MBOR.

Mengulas lanjut, Che Adam berkata, bekalan darah amat diperlukan ketika musim perayaan dan cuti panjang, terutama bagi kes kemalangan jalan raya, pembedahan besar serta pesakit yang menghidap penyakit darah.

“Harapan saya menerusi projek ini, supaya semua belia dan masyarakat dapat menjadikan derma darah sebagai amalan berterusan bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi,” katanya.

Menerusi program itu, beliau turut mengajak sekurang-kurangnya 20 anggota APM di setiap lokasi untuk menderma darah, dengan keseluruhan hampir 200 anggota menyertai aktiviti berkenaan di 15 lokasi.

Katanya, usaha itu turut berjaya memperkenalkan amalan menderma darah kepada penderma baharu di beberapa negeri, termasuk Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendermaan darah juga boleh dianggap sebagai sumbangan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan.

Sementara itu, Pengarah PDN, Dr Nor Nazahah Mahmud berkata, majlis berkenaan diadakan bagi meraikan pencapaian Che Adam yang diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records.

“PDN mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas atas pencapaian Che Adam yang diiktiraf sebagai First To Complete Blood Donation In All Capital City.

“Kami menghargai semangat kental, komitmen serta pengorbanan jiwa murni yang ditunjukkan oleh beliau sepanjang misinya dijalankan,” katanya.

Katanya, program seumpama itu turut membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah dan memupuk amalan berkenaan sejak usia muda.

“Selain itu, kita juga ingin membudayakan pendermaan darah dalam kalangan masyarakat serta menjadikan amalan menderma darah sebagai teladan yang perlu dipupuk sejak muda lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top