Belum tiba masanya Pas umum calon PM- Syahir Sulaiman

Belum tiba masanya Pas umum calon PM- Syahir Sulaiman

SHAH ALAM- Ketiadaan pengumuman calon Perdana Menteri dari Pas tidak bermaksud parti itu tidak mempunyai calon untuk diketengahkan bagi jawatan berkenaan.

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, belum tiba masanya lagi untuk Pas berbuat demikian.

“Insya-ALLAH apabila tiba masa dan ketentuan-Nya, Perdana Menteri yang lebih baik untuk Malaysia akan terzahir jua.

“Persoalan yang wajar ditanya, siapa calon PM (Perdana Menteri) daripada Pakatan Harapan (PH) Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim)?” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Ahli Parlimen Bachok itu mendakwa, ramai pemimpin pelapis dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah meninggalkan parti, DAP pula berdepan krisis keyakinan pengundi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) tidak cukup syarat sejak awal lagi.

Menurutnya, jelas PH telah ketandusan pemimpin, tiada pengganti selepas Anwar yang bakal mencecah usia 80 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Situasi ini tidak berlaku dalam Pas, ramai pemimpin Pas di peringkat Parlimen dan negeri berumur 60an, 50an dan 40an.

“Malah jika ditanya ahli Pas, tentu ada tokoh yang mereka lihat sesuai untuk diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Dalam kalangan ahli jawatankuasa Pas Pusat pasti ada individu yang dinilai mempunyai wibawa (integriti dan kompetensi) untuk menjadi Perdana Menteri ataupun Menteri-Menteri,” katanya.

Ujarnya, jika ditanya Presiden Pas mungkin sudah ada nama calon Perdana Menteri Malaysia yang dipertimbangkan, namun keyakinan dalam parti perlu diterjemahkan kepada keyakinan rakyat.

Beliau berkata, paling penting Pas perlu menyusun strategi bagi meyakinkan seluruh rakyat Melayu dan bukan Melayu, tua dan muda, bandar dan desa; melalui rekod kerja, dasar dan kewibawaan kepimpinannya.

“Pas/PN (Perikatan Nasional) perlu memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya, memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen dan seterusnya mendapat perkenan Baginda Tuanku yang bijaksana,” katanya.

 

 

Scroll to Top