Manchester: Michael Carrick percaya kenyataan kontroversi Lisandro Martinez yang mengkritik pihak pengurusan Manchester United sebenarnya menyuntik semangat kepada skuad itu dan mengeratkan hubungan sesama pemain.
Carrick mengadakan pertemuan tegang dengan Martinez bersama pengarah bola sepak, Jason Wilcox dan ketua pegawai eksekutif, Omar Berrada selepas sesi latihan semalam sebelum mengesahkan isu berkenaan dianggap selesai.
Namun, Carrick lebih berpuas hati dengan reaksi pemain terhadap situasi berkenaan. Walaupun timbul kebimbangan kenyataan Martinez boleh mencetuskan perpecahan dalam bilik persalinan, ketua jurulatih itu percaya kesannya adalah sebaliknya.
“Isu itu sebenarnya sudah selesai. Kami sudah melangkah ke hadapan. Kami semua memahami situasi berkenaan dan maksud di sebaliknya.
“Lisandro sudah mengeluarkan kenyataannya dan mengakui tindakannya itu satu kesilapan. Itu sahaja. Bagi kami sebagai satu kumpulan, perkara ini bukanlah sesuatu yang perlu diperbesarkan.
“Pemain berlatih dengan sangat baik. Pagi ini, suasana dalam skuad cukup positif. Mereka kelihatan ceria dan menjalani latihan dengan baik. Kami berjaya melupakan isu itu dengan pantas,” kata Carrick.
Selepas perlawanan pada Selasa lalu, bekas penyerang United, Wayne Rooney berkata kenyataan Martinez boleh “menghancurkan keharmonian bilik persalinan”.
Bagaimanapun, Carrick percaya situasi berkenaan mungkin memberikan kesan bertentangan, lebih-lebih lagi selepas United mempamerkan aksi yang lebih meyakinkan di Madrid.
“Dalam situasi tertentu, sesuatu perkara boleh menyatukan kumpulan dan itulah yang berlaku sepanjang minggu ini. Saya harus katakan, pemain kini berada dalam keadaan yang sangat baik.
“Anda boleh melihat semangat dan kesungguhan dalam kumpulan ini. Mereka mahu melakukan sesuatu untuk mengubah situasi yang sedang dihadapi dan mahu melakukannya dengan segera,” katanya.
Kenyataan Carrick itu bakal diuji apabila United akan berdepan Leeds yang kini berada di tangga ketujuh liga di Stadium Elland Road, esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




