3 maut, puluhan cedera akibat puting beliung di Republik Czech

3 maut, puluhan cedera akibat puting beliung di Republik Czech

PRAGUE: Sekurang-kurangnya tiga mati dan berpuluh lagi cedera selepas puting beliung dahsyat melanda tenggara Republik Czech hari ini.

Bencana alam yang jarang berlaku itu menghancurkan rumah di kawasan berkenaan, kata pasukan penyelamat yang sedang giat menjalankan kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Gabenor wilayah itu, Jan Grolich, menyifatkan keadaan selepas ribut sebagai ‘neraka dunia’, selepas melihat kerosakan dahsyat disebabkan musibah itu.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan tempatan, Hedvika Kropackova, memberitahu AFP, pasukan penyelamat tidak dapat membantu tiga mangsa tetapi 63 lagi yang cedera sudah dibawa ke hospital termasuk 10 parah.

“Lebih banyak mangsa akan dirawat,” katanya memaklumkan jumlah individu yang cedera dijangka lebih ramai hari ini.

Pasukan bomba dan kumpulan penyelamat khas masih menjalankan operasi SAR pagi tadi bagi memeriksa sama ada terdapat mangsa di sebalik runtuhan susulan cuaca buruk yang melanda kawasan itu.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat Austria dan Slovakia serta pasukan tentera Republik Czech turut membantu kerja menyelamat.

Putting beliung dan hujan batu sebesar saiz bola tenis melanda beberapa bandar serta perkampungan termasuk Hodonin.

Selain menyebabkan kecederaan, cuaca buruk melampau itu turut memusnahkan rumah persaraan dan zoo.

“Kami dalam proses memindahkan penduduk yang mendiami rumah persaraan ke hotel di bandar,” kata pejabat Datuk Bandar Hodonin dalam satu kenyataan di Facebook.

Kejadian itu turut mengakibatkan gangguan tenaga elektrik dan lalu lintas dengan 78,000 penduduk serta syarikat terjejas sejak pagi tadi.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Jan Hamacek, berkata lebih 1,000 rumah rosak akibat dilanda ribut.

Timbalan Datuk Bandar di kampung Hrusky yang teruk terjejas, Marek Babisz, memberitahu AFP separuh daripada perkampungan itu hancur sepenuhnya akibat ribut berkenaan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top