am@hmetro.com.my
Segamat: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjadikan Johor negeri pertama di Malaysia memperluas skop bantuan inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) Siswa melangkaui barangan makanan semata-mata.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pendekatan terbaharu ini bukan sahaja membekalkan makanan, malah merangkumi pelbagai keperluan harian lain seperti alat tulis, barangan penjagaan diri serta keperluan lain yang bersesuaian demi menyokong urusan pembelajaran dan kehidupan seharian mahasiswa.
Katanya, pelancaran program peringkat negeri di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Segamat itu bukan sekadar menyediakan bantuan makanan, malah menjadi manifestasi keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus diberikan perhatian, terutama dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
“Inisiatif i-FB Siswa berteraskan konsep 3S iaitu Santuni Komuniti, Selamatkan Makanan dan Sayangi Alam. Konsep ini menekankan usaha membantu warga kampus yang memerlukan, menangani pembaziran makanan serta menyokong kelestarian alam sekitar melalui pengurusan dan penyaluran sumbangan secara bertanggungjawab.
“Ini juga sebagai salah satu usaha memperkukuh kebajikan mahasiswa menerusi pengurusan bantuan yang lebih tersusun dan berkesan, khususnya bagi membantu warga kampus yang memerlukan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Lilis Saslinda berkata, premis penempatan barangan sumbangan i-FB Siswa buat masa ini ditempatkan di Bangunan Pentadbiran UiTM Kampus Segamat.
Katanya, bagi membolehkan akses yang lebih mudah kepada pelajar, program berkenaan dirancang untuk dikembangkan secara berperingkat ke kolej-kolej kediaman di seluruh kampus.
“Pelaksanaan i-FB Siswa memerlukan kerjasama erat antara KPDN, institusi pendidikan tinggi, sektor swasta, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik bagi memastikan sumbangan dapat dikumpulkan dan disalurkan secara sistematik serta berkesan kepada kumpulan sasar.
“Sehubungan itu, KPDN Johor menggalakkan lebih banyak pihak tampil menyumbang mengikut kemampuan masing-masing, sama ada dalam bentuk makanan, barangan keperluan harian, alat tulis, barangan penjagaan diri, kepakaran, tenaga kerja atau sokongan lain bersesuaian.
“Pihak universiti turut memainkan peranan penting dalam mengenal pasti keperluan mahasiswa serta memastikan pengurusan dan pengagihan bantuan dilaksanakan secara teratur, telus dan berhemah supaya manfaat inisiatif ini dapat disampaikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




