syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Kmy Kmo memohon orang mendoakan bapanya, Mohamed Azmaili Ismail, yang kini kritikal di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital akibat serangan jantung dan komplikasi penyakit lain.
Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim berkongsi berita duka itu menerusi satu hantaran di akaun Threads miliknya, semalam.
Menurutnya, bapanya yang sudah menjalani rawatan dialisis hampir 23 tahun kini mengalami penurunan fungsi jantung yang semakin merosot dari hari ke hari.
“Dia kini bergantung pada ubat sokongan jantung dan menjalani dialisis khas (Sustained Low-Efficiency Dialysis – SLED) di ICU kerana keadaan (denyutan) jantung yang tidak stabil.
“Menurut doktor, prosedur angiogram membawa risiko yang sangat tinggi termasuk strok, kegagalan jantung dan kematian,” tulisnya.
Kata penyanyi lagu 7 Nasihat itu, keluarganya kini berdepan dilema dan perlu membuat keputusan sukar berhubung tindakan rawatan seterusnya.
“Keputusan besar perlu dibuat bersama ayah, umi dan adik-beradik sama ada mahu meneruskan angiogram atau memberi tumpuan kepada rawatan sokongan untuk menstabilkan keadaannya.
“Aku hanya mampu berdoa agar Allah permudahkan segala urusan ayah aku,” tulisnya.
Dalam pada itu, Kmy Kmo turut memohon bantuan daripada maahad tahfiz atau masjid untuk mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan buat bapanya.
“Jika ada maahad tahfiz atau masjid nak buat solat hajat dan mendoakan, ini nama penuh ayahku, Mohamed Azmaili Bin Ismail,” tulisnya.
Ruangan komen hantaran berkenaan dihujani ucapan takziah, kata-kata semangat serta doa daripada peminat dan rakan artis yang berharap agar urusan keluarganya dipermudahkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




