sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) bangkit pada separuh masa kedua untuk mengikat Sabah FC, 1-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Meskipun dapat membariskan barisan terbaik termasuk pemain kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin yang sudah pulih daripada kecederaan selain penampilan pertama Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal, namun jentera serangan kurang menyengat.
Percubaan terbaik skuad Hobin Jang Hobin ialah pada minit ke-29 menerusi Luqman, bagaimanapun tendangan padu dilakukan penyerang kebangsaan itu dari dalam kotak penalti sedikit tersasar.
Sabah yang memperkemaskan serangan mereka berjaya mendapatkan gol pertama mereka menerusi percubaan dalam kotak penalti oleh Gonzalo Ignacuo Di Renzo pada minit ke-45 selepas dia tidak dikawal dengan baik dan dengan mudah menolak bola masuk ke dalam gawang tuan rumah menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Azri Ghani.
Anak buah Daniel Gimenez Alcaniz yang tersentak dengan jaringan pasukan pelawat itu dilihat cuba memperkemaskan jentera pasukan sebaik aksi separuh masa kedua bermula.
Usaha mereka membuahkan hasil apabila mendapat sepakan penalti selepas pemain pertahanan Sabah menyentuh bola dalam kotak penalti pada minit ke-67.
Pemain gantian Jovan Motika tidak menghadapi masalah menendang masuk bola menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim untuk gol penyamaan.
Sabah menerima tamparan apabila ketua jurulatih Juan Yorres Garrido dilayangkan kad merah oleh Farizudin pada minit ke-87, kerana dipercayai membantah keputusan pengadil.
Tindakan Alcaniz memasukkan penyerang import terbaharu mereka, Aboubakar Kamara pada penghujung perlawanan dan mengeluarkan Luqman Hakim tidak berkesan apabila misi meraih kemenangan di laman sendiri gagal dicapai dengan keputusan seri kekal sehingga ke wisel penamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




