Polis terima lima laporan kes sunting gambar lucah pelajar guna AI

Polis terima lima laporan kes sunting gambar lucah pelajar guna AI

Seremban: Polis menerima lima laporan berhubung penyebaran gambar wajah pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di sini, yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga menyerupai gambar lucah.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan membabitkan mangsa yang berusia 14 hingga 17 tahun itu daripada ibu bapa dan penjaga pada 20 hingga 23 Ogos lalu.

“Dalam kes ini, suspek seorang pelajar tingkatan lima dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah, iaitu digantung sekolah bermula pada 24 hingga 28 Ogos lalu.

“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Sehingga kini, lima saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan dengan segera sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan seterusnya.

Alzafny berkata, polis akan menjalankan siasatan secara telus supaya tindakan undang-undang dapat diambil terhadap individu yang terbabit demi keadilan terhadap kesemua mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top