Washington: Satu letupan dan kebakaran besar dilaporkan berlaku di sebuah pangkalan tentera Kanada di Alberta pada Sabtu, dengan Menteri Pertahanan David McGuinty mengesahkan terdapat korban jiwa dan kecederaan ketika angin kencang menyebabkan api merebak ke luar kawasan pangkalan itu, lapor Anadolu Ajansi.
“Saya berasa sedih untuk memaklumkan bahawa terdapat korban jiwa dan kecederaan akibat satu insiden di pangkalan itu,” kata McGuinty kepada pemberita.
Beliau merujuk kepada Pangkalan Angkatan Tentera Kanada Wainwright, di timur Edmonton, ibu negeri Alberta, namun tidak memberikan jumlah sebenar mangsa.
McGuinty juga tidak mendedahkan keadaan yang membawa kepada insiden itu, termasuk sama ada letupan berkenaan membabitkan senjata atau peluru, sambil menyifatkan situasi itu sebagai ‘masih berlangsung dan sensitif.’
Beliau berkata Polis Berkuda Diraja Kanada sedang menjalankan siasatan, manakala Angkatan Tentera Kanada serta pihak berkuasa persekutuan, wilayah dan perbandaran sedang menyelaraskan tindakan mereka.
Perdana Menteri Mark Carney sebelum itu menyifatkan kejadian berkenaan sebagai ‘serius’ dan berkata, ia menyebabkan kebakaran besar di pangkalan berkenaan.
“Ingatan kami bersama semua anggota lelaki dan wanita berani yang terjejas,” tulis Carney menerusi platform media sosial Facebook, sambil menambah bahawa pihak berkuasa persekutuan sedang bekerjasama rapat dengan pegawai wilayah dan tempatan.
Ketua Menteri Alberta Danielle Smith menyifatkan kebakaran itu sebagai ‘besar dan tragis,’ sambil berkata, kejadian berkenaan menjejaskan ramai anggota tentera.
Ahli Parlimen Kanada Dane Lloyd sebelum itu berkata beliau menerima laporan mengenai jumlah mangsa yang ramai susulan letupan dan kebakaran berkenaan.
Pihak berkuasa Daerah Perbandaran Wainwright memaklumkan bahawa angin kencang menyebabkan kebakaran merebak ke luar kawasan pangkalan itu, sekali gus mendorong pasukan kecemasan dari beberapa kawasan pentadbiran dikerahkan ke lokasi kejadian.
Pihak berkuasa tempatan berkata, tiada arahan pemindahan dikeluarkan, namun menggesa penduduk supaya menjauhi kawasan berkenaan dan memastikan jalan raya tidak dihalang bagi membolehkan kenderaan kecemasan melaluinya.
McGuinty berkata komuniti berhampiran di Wainwright sedang menyediakan bantuan hospital dan pemadaman kebakaran, manakala pihak berkuasa terus memantau perkembangan kebakaran itu dengan teliti.
Pangkalan yang terletak kira-kira 200 kilometer di tenggara Edmonton antara kemudahan latihan tentera paling sibuk di Kanada.
© New Straits Times Press (M) Bhd




