Genting Property, Huawei bangunkan kampus pintar 430 ekar di Johor

Genting Property, Huawei bangunkan kampus pintar 430 ekar di Johor

Kuala Lumpur: Genting Property Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd bagi membangunkan perancangan induk Kampus Pintar seluas 430 ekar (174 hektar) di Bandar Pintar Teknologi Johor (JTSC), sekali gus menandakan kerjasama antarabangsa pertama Huawei dalam bidang berkenaan.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Perjanjian Perancangan Induk sempena acara Huawei bertemakan Infrastruktur Berpacukan Awan Ekosistem Digital Baharu di Pusat Seni Antarabangsa Shenzhen Longgang, China, baru-baru ini.

Menerusi perjanjian itu, Genting Property, bahagian hartanah Genting Plantations Berhad akan mendapatkan kepakaran Huawei dalam perancangan induk JTSC dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), kepakaran global serta pengalaman syarikat teknologi itu dalam pembangunan kampus pintar.

Kerjasama berkenaan turut menjadi pelaksanaan pertama keupayaan perancangan induk berasaskan AI Huawei di luar China, selepas sebelum ini kerangka pembangunan berkenaan digunakan di kampus pintar milik syarikat itu di negara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Genting Plantations, Datuk Lim Keong Hui, berkata kerjasama itu menjadi langkah penting dalam merealisasikan visi JTSC sebagai destinasi teknologi yang mampu mewujudkan peluang pertumbuhan kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata, pembangunan itu berteraskan keperluan memanfaatkan teknologi bagi memacu kemajuan, di samping memperkasa bakat tempatan dan menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negara ini.

“Kami percaya teknologi mesti menjadi pemacu kemajuan iaitu kemajuan yang dipacu oleh bakat tempatan yang kami perkasa serta pelaburan berkualiti tinggi yang menjadi rebutan setiap ekonomi progresif.

“Rakyat Malaysia berhak berada di barisan hadapan pertumbuhan ini, di tanah air sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Kampus Pintar seluas 430 ekar itu akan menjadi destinasi yang membuka peluang tempatan menerusi inovasi global, disokong perancangan strategik yang jelas dan berwawasan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Perusahaan Huawei Malaysia, Du Xianjun, berkata Genting Property menjadi rakan kongsi antarabangsa pertama Huawei dalam bidang Kampus Pintar.

Beliau berkata, model pembangunan berkenaan sebelum ini hanya digunakan di kampus pintar Huawei di China sebelum dibuka kepada syarikat global bagi menyokong pembangunan ekosistem inovasi bersepadu.

“Kampus Pintar seluas 430 ekar di JTSC akan menjadi penanda aras baharu bagi pembangunan dan pengurusan ekosistem pintar masa hadapan di seluruh dunia,” katanya.

Selain pembangunan JTSC, kerjasama itu turut membuka ruang kepada transformasi digital lebih meluas dalam ekosistem Genting Plantations, termasuk penerapan teknologi kecerdasan perusahaan dalam operasi teras kumpulan berkenaan.

Usaha itu berpotensi menjadi asas kepada kerjasama dalam teknologi pertanian, pengurusan tenaga mampan serta pembangunan infrastruktur korporat berasaskan data.

Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan Pengerusi Eksekutif Genting Berhad, Tan Sri Lim Kok Thay, dan Ahli Eksekutif Lembaga Penyeliaan merangkap Ketua Pegawai Logistik Huawei, Ren Shulu (Steven Ren).

Pembangunan JTSC turut disasarkan menyokong pertumbuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan menyediakan hab teknologi yang berpotensi menarik syarikat multinasional serta pemain inovasi global, selain memperkukuh ekosistem teknologi tempatan dan kedudukan Malaysia dalam pembangunan infrastruktur digital generasi baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top