syafil.syazwan@hmetro.com.my
Shah Alam: Pelakon, Anna Jobling dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama pada Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026) yang berlangsung di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini, malam tadi.
Kemenangan itu sekali gus melengkapkan kejayaan Anna apabila turut membawa pulang trofi bagi kategori Selebriti Feminin Terhangat.
Malam kemuncak AMT2026 dianjurkan dengan tema ‘Power’ turut menyaksikan saingan sengit bagi 16 kategori yang dipertandingkan, di mana keputusan pemenang ditentukan sepenuhnya oleh peminat menerusi undian digital di Tonton.
Penyanyi Zaki Yamani dinobatkan sebagai pemenang Fresh Rising Star Terhangat Darlie, manakala pelakon Fattah Amin meraih kemenangan bagi kategori Selebriti Maskulin Terhangat.
Kategori Selebriti Muzik Terhangat menjadi milik Khai Bahar, manakala pasangan sensasi Janna Nick dan Dini Schatzmann membawa pulang trofi Selebriti Couple Goals Terhangat.
Penyanyi dan komposer, Hael Husaini dinobatkan sebagai Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO.
Hael membawa pulang trofi AMT2026, kerusi urut santai CUCKOO BESPOKE serta penapis air beralkali ringan CUCKOO XCEL2 bernilai keseluruhan RM13,028 berserta servis dan waranti percuma selama setahun.
Selain itu, Aisha Retno memenangi kategori Selebriti Viral Terhangat, manakala pelakon, Meerqeen mengungguli kategori Selebriti Stailo Terhangat.
Bagi kategori karya dan produksi televisyen mahupun filem, Neraka Yang Terhijab dipilih sebagai Tonton Original Terhangat, manakala lagu Nurcinta memenangi kategori Lagu Terhangat.
Drama terbitan Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd, Yes! Captain Zul Aaryan mengungguli kategori Drama Sangat Terhangat, sementara pengarah Bobby Husaini bersama filem Libang Libu dinobatkan sebagai pemenang Direktor & Filem Terhangat.
Sementara, pemenang empat lagi kategori iaitu Keluarga Selebriti Terhangat, Selebriti Fit Terhangat, Selebriti Chemistry Terhangat dan Selebriti Mandarin Terhangat akan diumumkan pada Konsert Cuckootopia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 24 Oktober depan.
Malam kemuncak AMT2026 dikendalikan oleh pasangan hos Ain Edruce dan Kamal Adli, selain dimeriahkan dengan persembahan barisan artis popular seperti DOLLA, Ernie Zakri, Misha Omar, Alyph, Wany Hasrita, Shiha Zikir, Haqiem Rusli dan ramai lagi.
Acara berkenaan turut ditayangkan secara langsung menerusi TV3 dan Tonton.
© New Straits Times Press (M) Bhd




