Azizulhasni luah rasa terkilan prestasi di Shanghai

Azizulhasni luah rasa terkilan prestasi di Shanghai

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua himpitan pelumba lawan yang menjejaskan kelajuannya menjadi faktor Datuk Azizulhasni Awang tersingkir dalam acara keirin pada Kejohanan Dunia Berbasikal Trek 2026 di Shanghai, China, minggu lalu.

Mengulas prestasinya menerusi hantaran di media sosial, jaguh berbasikal trek itu mengakui terkilan kerana gagal mencapai sasaran peribadi untuk mara ke final selepas menduduki tempat terakhir di suku akhir.

Azizulhasni berkata, strategi perlumbaan yang dirancang adalah untuk bermula dari belakang sebelum melakukan pecutan ketika memasuki pusingan terakhir.

Bagaimanapun, beliau mendakwa dihimpit pelumba Poland sejurus memasuki selekoh pertama ketika melakukan pecutan, sebelum satu lagi himpitan lebih besar di selekoh ketiga menjejaskan kayuhan serta kelajuannya.

“Jika tidak berlaku dua himpitan tersebut, terutamanya himpitan besar itu, sudah tentu saya yakin dapat meluru ke hadapan untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

“Namun, itu antara lumrah dalam acara keirin dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila berlumba dengan enam orang pelumba dalam satu masa. Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas prestasi tersebut,” katanya.

Nasib berbeza dialami Azizulhasni dalam acara pecut individu apabila beliau berjaya melepasi sasaran peribadi untuk berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik pada pusingan kelayakan.

Pelumba berpengalaman itu mencatat masa 9.564 saat untuk menduduki tempat kelapan daripada 33 peserta, sebelum menewaskan David Ortega dari Colombia dengan selesa pada pusingan pertama.

Bagaimanapun, cabarannya berakhir pada pusingan kedua selepas tewas kepada pelumba Great Britain, Harry Ledingham dalam perlumbaan sengit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top