Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan pemblog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, daripada pertuduhan menghasut dalam masa terdekat.
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti perintah Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bersidang di Mahkamah Sesyen Klang hari ini di akhir kes pembelaan Wan Muhammad Azri, 43, bagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
Menurut AGC, pihak pendakwaan sebelum ini telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah sama pada 3 September 2025 yang membebaskan tertuduh di akhir kes pendakwaan.
AGC memaklumkan rayuan itu difailkan di Mahkamah Tinggi pada 4 September 2025, dan pada 31 Julai lalu, Wan Muhammad Azri diperintah membela diri.
Terdahulu, Hakim Siti Aminah Ghazali membebaskan Wan Muhammad Azri selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pada 8 Januari 2024, pemblog itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan yang mengaitkan kerajaan sebagai pro-Israel dan pro-Barat menerusi laman Facebook.
Dia didakwa membuat kenyataan itu di laman Facebook Halid Hamidi (Halid Mat Kool) yang dilihat oleh seorang individu di sebuah kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada 1 tengah hari 8 November 2023 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




