Jarak larian dipendekkan, karnival tetap meriah

Jarak larian dipendekkan, karnival tetap meriah

LARIAN sejauh 2.6 kilometer (km), aktiviti kecergasan dan suasana santai mewarnai Festival Larian Wanita KL (KLWRF) 2026 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Ahad, meskipun jerebu memaksa jarak larian asal dipendekkan.

Festival itu menghimpunkan 8,000 peserta yang tetap hadir untuk menyertai aktiviti disediakan, termasuk larian santai selepas kategori kompetitif 10km dan 15km dibatalkan atas faktor kesihatan dan keselamatan.

Bagaimanapun, perubahan format itu turut membawa makna tersendiri apabila wang hadiah berjumlah RM9,200 yang diperuntukkan bagi kategori kompetitif disumbangkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Selain sumbangan berkenaan, kira-kira RM990 turut dikumpulkan menerusi lelongan amal pada ekspo larian yang diadakan sebelum festival berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata, pihaknya bersyukur acara itu dapat diteruskan dengan sokongan Guardian Malaysia meskipun berdepan cabaran akibat keadaan jerebu.

“Melihat peserta tersenyum, menari dan menikmati aktiviti yang disediakan hari ini membuatkan kami sangat bersyukur kerana acara ini dapat direalisasikan,” katanya.

Patricia berkata, kesemua 8,000 tempat penyertaan habis dijual walaupun peserta dimaklumkan bahawa jarak asal 5km, 10km dan 15km tidak dapat dikekalkan berikutan keadaan semasa.

Susulan perubahan itu, peserta yang memilih untuk berlari dilepaskan seawal jam 6 pagi bagi laluan santai sejauh 2.6km, manakala kategori kompetitif 10km dan 15km serta penyampaian hadiah dibatalkan.

Pengarah Urusan Guardian Malaysia, Priscilla Wu berkata, pihaknya bersama penganjur melakukan penilaian selama dua minggu bagi memantau perkembangan jerebu dan menentukan tindakan yang sesuai sebelum acara berlangsung.

Katanya, komitmen peserta yang datang dari pelbagai lokasi perlu dihargai, namun kesihatan dan keselamatan mereka tidak boleh dikompromi.

“Kami tidak pernah melupakan sebab acara ini dianjurkan, iaitu untuk mempromosikan kesejahteraan. Sebagai penasihat kesihatan yang dipercayai, kami perlu memastikan peserta dapat membuat pilihan berdasarkan maklumat yang tepat dan mengutamakan kesihatan mereka,” katanya.

Festival itu turut menyediakan pelbagai aktiviti kecergasan dan kesejahteraan yang memberi peluang kepada peserta meluangkan masa bersama-sama dalam suasana santai, walaupun perancangan asal acara larian terpaksa diubah akibat jerebu.

Scroll to Top