puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menggesa Music Authors Copyright Protection (MACP), Recording Performers Malaysia (RPM) dan Public Performance Malaysia (PPM) tampil memberi penjelasan berhubung tindakan mereka yang mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan.
Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan garis panduan bagi memperkukuh ketelusan kutipan dan pengagihan royalti muzik oleh organisasi pengurusan kolektif (CMO) gagal dikuat kuasakan bermula Januari lalu.
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, kerajaan sudah berusaha untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu industri muzik dan prihatin terhadap nasib penggiat seni selama beberapa dekad.
Menurutnya, garis panduan berkenaan wajar disokong oleh semua penggiat muzik kerana ia menambahkan kuasa penggiat muzik untuk menentukan sistem royalti yang lebih telus dan cekap berbanding sistem yang sedia ada.
“Karyawan amat kesal dengan ketiga-tiga badan tersebut kerana memilih untuk menggunakan proses mahkamah bagi menolak usaha murni kerajaan dalam menambah baik proses kutipan dan pengagihan royalti muzik.
“Pada awal 2025, ramai penggiat muzik tanah air menyambut baik pengumuman (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) Datuk Armizan (Mohd Ali) dalam majlis ‘Advokasi Royalti Muzik’ apabila beliau mengumumkan bahawa garis panduan tersebut akan dikuatkuasakan sebagai jalan penyelesaian terbaik bagi semua aduan penggiat muzik selama beberapa dekad.
“Malangnya, kegembiraan itu hanya seketika. Bukan sahaja ketiga-tiga badan kutipan royalti tersebut memboikot majlis pengumuman menteri, malah mereka memfailkan semakan kehakiman di mahkamah untuk mengetepikan garis panduan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pada masa sama, Freddie turut membangkitkan persoalan sama ada tindakan mengheret kerajaan ke mahkamah mendapat persetujuan dan pandangan daripada ahli menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).
Katanya, garis panduan yang mahu diperkenalkan itu sepatutnya disokong penuh kerana ia mampu memberi lebih kuasa kepada penggiat muzik untuk menentukan sistem kutipan dan pengagihan royalti yang lebih telus serta cekap berbanding sistem sedia ada.
“Akibatnya, garis panduan yang sepatutnya berkuat kuasa pada Januari tahun ini terpaksa ditangguh sehingga kes tersebut selesai, satu proses yang mungkin memakan masa yang lama.
“Sementara itu, penggiat muzik terpaksa menerima hakikat bahawa tidak akan ada sebarang perubahan atau penambahbaikan pada sistem sedia ada sehingga kes mahkamah itu selesai,” katanya.
Pada 13 Oktober lalu media melaporkan penguatkuasaan garis panduan terbabit masih tertangguh susulan tindakan semakan kehakiman yang difailkan tiga badan berkenaan.
Armizan dipetik berkata, tiga CMO terbabit ialah MACP, PPM dan RPM yang memfailkan tindakan mahkamah itu pada 16 April 2025.
Menurutnya, pendengaran substantif bagi semakan kehakiman berkenaan dijadualkan berlangsung pada 24 November ini.
Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai mekanisme Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi memastikan kutipan, pengiraan dan pengagihan royalti oleh CMO dilaksanakan secara telus serta boleh diaudit, termasuk hak pemegang hak cipta untuk menyemak asas pengiraan royalti yang diterima pada sesi soalan lisan di Dewan Rakyat.
Untuk rekod, MACP mewakili pencipta muzik, manakala RPM mewakili artis dan pemuzik rakaman, sementara PPM mewakili syarikat rakaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




