Ahli Parlimen Australia cedera parah dalam insiden disyaki serangan gunakan kenderaan

Ahli Parlimen Australia cedera parah dalam insiden disyaki serangan gunakan kenderaan

MELBOURNE – Seorang Ahli Parlimen Australia cedera parah selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan secara sengaja di luar pejabat kawasannya di Negeri Victoria, sekali gus mencetuskan siasatan polis berskala besar, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ahli Parlimen bebas, Helen Haines, 65, dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di luar pejabatnya di Wangaratta, timur laut Melbourne, sebelum dibawa ke sebuah hospital di bandar itu akibat kecederaan parah.

Helen Haines

Helen Haines

Perdana Menteri, Anthony Albanese berkata, seorang suspek ditahan, namun motif kejadian masih belum diketahui.

Pegawai penyiasat antikeganasan turut dilibatkan dalam siasatan itu.

Menurut polis, seorang lelaki berusia 43 tahun memandu sebuah kereta Toyota berwarna putih melanggar Haines pada petang Isnin.

Ahli Parlimen itu mengalami kecederaan parah, khususnya pada bahagian bawah badannya. Polis turut menemukan sebilah pisau di dalam kenderaan berkenaan.

Masih belum dapat dipastikan sama ada suspek mengenali Haines.

“Ini bukan satu kemalangan. Ia nampaknya satu perbuatan yang disengajakan,” kata Albanese kepada penyiar ABC.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai kemungkinan motif di sebalik serangan itu.

Dalam satu sidang media berasingan, Perdana Menteri yang kelihatan terkejut melahirkan kebimbangan terhadap keadaan Haines.

“Ingatan dan doa kami bersama Helen, keluarganya, rakan-rakannya, pasukannya dan masyarakat setempat dalam saat yang amat sukar ini,” katanya.

“Kami mendoakan agar beliau pulih sepenuhnya.”

Menteri Dalam Negeri, Tony Burke membangkitkan peningkatan ancaman dan gangguan yang menyasarkan Ahli Parlimen serta pegawai kanan kerajaan yang lain, namun menegaskan bahawa siasatan terhadap insiden itu masih di peringkat awal.

Haines telah mewakili kawasan pilihan raya Indi di Parlimen Australia sejak 2019 dan dipilih semula untuk penggal ketiga pada 2025. – Bernama-dpa

 

 

 

Scroll to Top