Kuala Lumpur: Seramai 242 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sedang mengikuti pengajian di Perancis dilaporkan selamat susulan rusuhan yang melanda negara itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Zahari Aziz dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan laporan terkini daripada wakil pelajar di universiti masing-masing, semua pelajar berkenaan berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
Menurutnya, tiada pelajar tajaan MARA dilaporkan terbabit dalam sebarang insiden rusuhan setakat ini.
“Aktiviti pengajian juga berjalan seperti biasa. Di kawasan yang mengalami gangguan pengangkutan awam, pihak universiti mengambil langkah sewajarnya dengan melaksanakan sesi pengajian secara dalam talian.
“MARA melalui Pejabat MARA Luar Negara Frankfurt sentiasa berhubung dengan pelajar dan mengingatkan mereka supaya berhati-hati, menjauhi kawasan demonstrasi serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan Kedutaan Besar Malaysia di Paris.
“MARA akan terus memantau perkembangan situasi dan berhubung dengan pelajar serta pihak berkaitan bagi memastikan urusan pengajian dapat diteruskan dengan baik.
“MARA memberi jaminan bahawa keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




