razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual memberi penjelasan berhubung dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’ dan kes membabitkan FELDA di Dewan Rakyat, pagi esok.
Perdana Menteri dijangka menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung mafia korporat pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), jam 10 pagi.
Menerusi soalan Aminuddin, Perdana Menteri dijangka memberi penjelasan perkembangan terkini dakwaan kegiatan mafia korporat dan bentuk tindakan diambil selama ini.
Bagi soalan Rayer, Anwar dijangka menyatakan jangkaan masa kerajaan akan memulakan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat tuduhan mafia korporat.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat (AUM), Perdana Menteri turut dijadualkan memberi penjelasan berhubung kes penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan FELDA termasuk anak syarikatnya FELDA Investment Corporation.
Menerusi soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Anwar dijangka memberi penjelasan status terkini siasatan membabitkan agensi itu.
Selain itu, Perdana Menteri dijangka memberi penjelasan kesediaan kerajaan menjadikan prinsip pelantikan berasaskan merit dan bebas daripada kepentingan politik sebagai antara dasar utama tadbir urus institusi Tabung Haji, selaras dengan salah satu syor yang dikemukakan oleh RCI menerusi soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad.
Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka menyatakan jaminan dan mekanisme diplomatik bersama kerajaan Myanmar bagi memastikan penghantaran pulang pelarian Rohingya dilaksanakan secara selamat, sukarela dan bermaruah.
Bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli itu, Mohamad turut dijangka memperincikan langkah susulan kerajaan melalui ASEAN bagi menangani punca krisis agar tidak berulang dan membebankan negara penerima.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dijadualkan menyatakan langkah bagi mengatasi masalah kelewatan baja sehingga menggusarkan pesawah dan bagaimana kerajaan mahu memastikan masalah sama tidak berulang semula menerusi soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




