Kucing diselamatkan, polis siasat dakwaan suspek alami masalah mental

Kucing diselamatkan, polis siasat dakwaan suspek alami masalah mental

am@hmetro.com.my

Pasir Puteh: Sepasukan anggota polis bersama pencinta haiwan malam ini mengambil beberapa ekor kucing dari kediaman keluarga suspek yang videonya tular melakukan perbuatan tidak senonoh ke atas binatang itu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata tindakan itu bagi menjamin keselamatan haiwan berkenaan susulan suspek ditahan jam 10 pagi tadi.

Katanya, kucing yang disyaki terbabit dalam perbuatan itu pula sudah diambil dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pemeriksaan lanjut.

“Polis juga masih menyiasat status suspek yang didakwa mempunyai masalah mental. Buat masa ini kami belum dapat pengesahan daripada pihak doktor dan kad perubatannya.

“Untuk menyelamatkan kucing daripada gangguan, kami ambil tindakan pindahkan kucing-kucing ini ke pusat penjagaan,” katanya ketika ditemui di Selinsing, di sini, malam ini.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan selepas tular video dia melakukan perbuatan tidak senonoh ke atas seekor kucing dalam video berdurasi 56 saat yang menimbulkan kemarahan pencinta haiwan dan mengganggu emosi awam.

Saari dalam pada itu menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan video membabitkan lelaki itu dengan kucing berkenaan.

Katanya, pesalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda maksimum RM500,000 dan penjara dua tahun.

Sementara itu, seorang pencinta haiwan, Nur Izyan Syahida Rosli berkata, mereka mengambil dua kucing yang berada di kediaman suspek untuk dipelihara di bawah Kelab Pencinta Haiwan Pewaris Kelantan.

“Kami bersedia mengambil kucing berkenaan sekiranya dibenarkan polis selepas siasatan selesai dijalankan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top