JKM Kelantan pastikan peperiksaan SPM, STPM tidak terganggu ketika banjir

JKM Kelantan pastikan peperiksaan SPM, STPM tidak terganggu ketika banjir

news@nst.com.my

Kota Bharu: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan akan memastikan persiapan dibuat bagi meminimumkan gangguan di sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir, ketika pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Che Samsuzuki Che Noh berkata, 351 sekolah di seluruh negeri itu akan digunakan sebagai PPS sepanjang musim tengkujuh yang bakal tiba.

Katanya, sekolah berkenaan antara 451 PPS yang sudah diwartakan bagi menempatkan mangsa banjir.

“Pihak berkuasa di daerah yang mempunyai PPS juga sudah diarahkan mengenal pasti premis alternatif seperti dewan serba guna untuk dijadikan PPS sokongan.

“Jika tidak dapat dielakkan, kita mungkin terpaksa menggunakan sekolah yang menjadi lokasi peperiksaan, namun kita akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan peperiksaan tidak terganggu,” katanya.

Che Samsuzuki berkata, masjid dan surau hanya akan dipertimbangkan sebagai pilihan kedua untuk PPS bagi mengelakkan kerosakan rumah ibadat ketika banjir dan sepanjang kerja-kerja pemulihan pasca bencana.

Katanya, jabatan itu mahu meminimumkan risiko kerosakan pada premis berkenaan, walaupun ia mungkin terpaksa digunakan, sekiranya tiada lokasi lain yang sesuai.

Daripada 351 sekolah yang dikenal pasti sebagai PPS, 69 daripadanya terletak di Kota Bharu, Pasir Mas (50) dan Pasir Puteh (42).

Sementara itu, beliau berkata, kesemua 162 pangkalan hadapan sudah disiapkan sepenuhnya bagi menghadapi musim banjir.

Bekalan berkenaan termasuk barangan keperluan asas seperti beras dan minyak masak yang sedang diagihkan ke pejabat JKM daerah serta 22 depoh mini.

“Kita menjangkakan semua persiapan akan selesai pada 30 Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata, setakat 13 Oktober lalu, seramai 79,455 ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir sudah berdaftar dengan JKM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top