mdroji@bh.com.my
Kuching: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memantau rapat keadaan semasa penuntut Malaysia di Paris, Perancis dan Milan di Itali susulan insiden rusuhan yang melanda beberapa lokasi di kota berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihak kementerian bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Negeri bagi memastikan keselamatan serta kebajikan semua penuntut yang berada di kawasan terjejas sentiasa terpelihara.
“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan berhubung penuntut yang terbabit secara langsung dalam kejadian berkenaan.
“Insiden itu hanya menjejaskan pergerakan harian penuntut, khususnya untuk ke kampus atau melakukan urusan peribadi di kawasan tertentu.
“Kita memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan meminta semua penuntut serta rakyat Malaysia mengambil langkah berwaspada dengan mengelakkan kawasan rusuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Surat Pengiktirafan Status Universiti Penuh kepada Kolej Universiti i-CATs di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Surat pengiktirafan itu diserahkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Azlinda Azman kepada Naib Canselor Kolej Universiti i-CATs Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Dr Zambry.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, nasihat serta garis panduan keselamatan sudah dikeluarkan oleh pihak kedutaan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin sepanjang tempoh ini.
Katanya, jika keadaan semakin meruncing, kementerian bersedia mengambil langkah susulan termasuk memindahkan penuntut ke lokasi lebih selamat seperti kedutaan Malaysia.
Mengenai status terkini Kolej Universiti i-CATS yang secara rasminya dinaik taraf kepada sebuah universiti penuh, Dr Zambry berkata, penaiktarafan itu selaras dengan komitmen kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memperkukuhkan institusi pengajian tinggi serta memperkasakan pembangunan modal insan di Sarawak.
“Penubuhan universiti penuh ini dijangka mampu memperluaskan pelbagai program pengajian tinggi yang mendesak, khususnya dalam bidang teknologi tinggi dan kejuruteraan bagi menampung keperluan industri tempatan.
“Langkah penjenamaan dan peningkatan status itu dijangka memperkukuh lagi ekosistem pendidikan tinggi di Sarawak dalam melahirkan modal insan berkualiti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




