SHAH ALAM: Walaupun tidak tinggal serumah, namun pelakon, Fattah Amin gembira melihat anak sulungnya, Nur Fatima Aisya teruja setiap kali bertemu adiknya, Muhammad Jarir Umar.
Fattah atau Abdul Fattah Mohd. Amin, 36, sempat bercerita bagaimana Fatima pernah memohon izinnya untuk berkongsi wajah Jarir semasa sesi siaran langsung, baru-baru ini.
“Setiap kali Fatima datang, nampak hubungan mereka makin erat, Alhamdulillah. Malah sewaktu sesi siaran langsung baru-baru ini, dia begitu teruja sehingga bertanya kepada saya sama ada boleh membawa adiknya masuk ketika bersiaran lansgung dalam TikTok.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Tetapi saya jelaskan belum masanya lagi kerana adik masih kecil. Insya-Allah suatu hari nanti bila adik sudah besar sedikit, kami akan kongsikan (wajahnya).
“Saya faham ramai yang teruja dan teringin hendak melihat, cuma belum tiba masanya lagi. Fatima juga sekarang mula faham dia sudah bergelar kakak,” katanya.
Fattah ditemui semasa Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026) di sini, baru-baru ini.
Memasuk usia lima tahun, kongsi Fattah, tubuh Jarir semakin kuat malah sudah pandai meniarap.
“Alhamdulillah, perkembangan Jarir sekarang dia sudah pandai meniarap sedikit demi sedikit. Sebelum ini dia hanya terlentang sahaja, tetapi sekarang tangannya semakin kuat.
“Dia sudah pandai menolak badan untuk cuba meniarap, itulah perkembangannya buat masa ini.
“Selain menguruskan Jarir, kami berdua sememangnya sentiasa sibuk melayani Fatima,” katanya.
Bercerita mengenai rutin kehidupan ketika mempunyai bayi masih kecil, Fattah mengambil peranan untuk mengasuh Jarir yang terjaga di tengah malam bersama isterinya, Amira Othman.
“Bagi mereka yang mempunyai anak kecil, pasti faham situasi rutin bangun tengah-tengah malam untuk memberikan susu dan sebagainya, memang sudah menjadi lumrah biasa.
“Walaupun saya perlu bekerja pada waktu pagi, namun apabila mendengar anak menangis tengah malam, memamg tak boleh teruskan tidur begitu sahaja.
“Secara automatik saya akan terjaga untuk membantu isteri. Kami berdua sama-sama menggalas rutin menjaga Jarir yang kerap terjaga malam,” katanya. -UTUSAN




