Pipi masih bengkak, Siti Nurhaliza syukur lebam makin pulih

Pipi masih bengkak, Siti Nurhaliza syukur lebam makin pulih

Kuala Lumpur: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam proses pulih daripada lebam di bawah mata dan pipi kanan akibat terjatuh ketika sesi latihan untuk Konsert Tradisional Gema Bumantara, baru-baru ini.

Siti Nurhaliza berkongsi perkembangan terbaharu menerusi hantaran di Instagram (IG) dengan memaklumkan keadaan lebam makin baik, namun tulang pipi masih terasa bengkak.

“Tinggal hendak hilangkan lebam ini sahaja, sakit tiada kecuali bahagian tulang pipi masih rasa bengkak.

“Alhamdulillah, semuanya adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada saya,” tulisnya sambil memuat naik foto memaparkan bahagian wajah yang cedera.

Sebelum ini, video memaparkan Siti Nurhaliza terjatuh ketika menjalani latihan ditayangkan pada konsert berkenaaan.

Kejadian berlaku ketika penyanyi berusia 47 tahun itu sedang berlatih melakukan aksi melompat menggunakan kain panjang, sebelum kakinya dipercayai tersadung lalu jatuh tersembam ke lantai.

Insiden itu mengakibatkan kecederaan ringan, termasuk luka kecil pada bahagian tepi dan bawah mata serta lebam pada pipi kanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top