mukhriz.husin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada Profesor Dr Kuik Cheng-Chwee atas kejayaan tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis teratas dunia bagi 2026.
Anwar berkata, pengiktirafan terhadap Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mencerminkan kecemerlangan serta sumbangan beliau dalam bidang ilmu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Tahniah dan syabas kepada Profesor Dr Kuik Cheng-Chwee, Felo Utama IKMAS, UKM, atas kejayaan tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis teratas dunia bagi tahun 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berharap kejayaan itu dapat menyemarakkan budaya ilmu, memperkukuh tradisi penyelidikan serta menjadi inspirasi kepada generasi ilmuwan untuk terus menyumbang kepada kemajuan negara.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan dan sumbangan beliau dalam bidang ilmu, malah turut mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Semoga kejayaan ini terus menyemarakkan budaya ilmu, memperkukuh tradisi penyelidikan dan menjadi inspirasi kepada generasi ilmuwan untuk menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.
Cheng-Cheww turut berkhidmat sebagai Felo Kanan di Institut Dasar Luar, Sekolah Pengajian Antarabangsa Lanjutan (SAIS), Universiti Johns Hopkins.
Beliau juga adalah pengasas bersama Kaukus Hubungan Antarabangsa Asia Timur (EAIR), sebuah platform penyelidikan yang menggalakkan pertukaran pandangan, penglibatan dan pemerkasaan dalam kalangan profesional hal ehwal luar di Malaysia.
Selain itu, Cheng-Cheww pernah mengetuai Pasukan Penulisan bagi penggubalan Kertas Putih Pertahanan pertama Malaysia dari 2019 hingga 2020. Beliau turut menjadi anggota Majlis Perundingan Dasar Luar, Kementerian Luar bagi tempoh 2023 hingga 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd



