Baju berunsur lucah langgar adab ibadah walaupun sah solat – Mufti Pulau Pinang

Baju berunsur lucah langgar adab ibadah walaupun sah solat – Mufti Pulau Pinang

am@hmetro.com.my

Georgetown: Pemakaian baju tertera tulisan lucah atau tidak sopan ketika solat adalah tidak wajar kerana bercanggah dengan tuntutan adab ketika menghadap Allah SWT.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, perkara itu perlu difahami dengan membezakan antara hukum pemakaian yang mengandungi unsur tidak senonoh dengan kesahan solat individu yang memakainya.

Katanya, Islam bukan sahaja menitik berat aspek penutupan aurat malah turut menuntut umatnya menjaga kebersihan, kesopanan dan penampilan ketika menunaikan ibadah.

Katanya, menurut mazhab Syafie, tulisan pada pakaian bukan dengan sendirinya membatalkan solat selagi pakaian berkenaan menutup aurat dengan sempurna, suci daripada najis dan memenuhi syarat sah solat yang lain.

“Bagaimanapun, kesahan solat tidak bermaksud semua perkara yang dilakukan ketika menunaikan ibadah itu dibenarkan atau terpuji.

“Pakaian yang mengandungi tulisan lucah, ungkapan mencarut, penghinaan atau mesej bertentangan dengan akhlak Islam tidak sewajarnya dipakai ketika menghadiri masjid, apatah lagi ketika menunaikan solat berjemaah.

“Sekiranya tulisan berkenaan jelas mengandungi unsur lucah, mengajak kepada maksiat, menghina agama atau menyebarkan ungkapan yang diharamkan, pemakaiannya secara sengaja bagi menzahirkan atau mempromosikan mesej itu adalah dilarang,” katanya, hari ini.

Beliau mengulas hantaran viral di media sosial yang menunjukkan lelaki memakai pakaian yang mengandungi tulisan lucah ketika menunaikan solat.

Mengulas lanjut Mohd Sukki berkata, penentuan hukum perlu mengambil kira maksud sebenar ungkapan, konteks penggunaannya, niat pemakai dan kefahaman masyarakat setempat, bukannya dibuat berdasarkan tanggapan umum semata-mata.

Katanya, pakaian yang mempunyai gambar atau corak yang mengganggu kusyuk turut dibincangkan ulama, termasuk dalam mazhab Syafie.

“Jika corak pakaian yang pada asalnya harus boleh mengganggu tumpuan ketika solat, pakaian yang mengandungi ungkapan lucah atau tidak sopan lebih wajar dielak kerana boleh menarik perhatian jemaah lain dan bercanggah dengan adab ibadah.

“Masjid perlu dihormati sebagai tempat ibadah, pendidikan, penyatuan ummah dan pembentukan akhlak, justeru umat Islam sewajarnya memilih pakaian bersih, menutup aurat serta tidak mengandungi tulisan atau lambang yang menyinggung perasaan atau mengganggu tumpuan jemaah.

“Tulisan pada bahagian belakang baju mungkin tidak mengganggu pemakainya, tetapi boleh menarik perhatian individu yang bersolat di belakangnya, sekali gus menjejaskan kekhusyukan,” katanya lagi.

Menurut Mohd Sukki, bagaimanapun teguran terhadap individu yang memakai pakaian sedemikian hendaklah dilakukan secara berhikmah dan berhemah, bukannya dengan menghina atau memalukannya secara terbuka.

“Pihak pengurusan masjid, imam atau ahli jawatankuasa boleh beri nasihat secara peribadi dan mencadangkan pakaian alternatif yang lebih sesuai sekiranya tersedia.

“Justeru, masyarakat diingatkan supaya tidak menyebarkan gambar individu terbabit dengan tujuan mengejek atau mengaibkannya kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan permusuhan dan menyebabkan individu berkenaan menjauhkan diri daripada masjid.”

Mohd Sukki berkata, pendidikan mengenai adab berpakaian perlu diperkasa menerusi peranan keluarga, institusi pendidikan dan pihak masjid, khususnya dalam memberikan kefahaman kepada generasi muda bahawa tidak semua perkara yang dianggap biasa dalam budaya popular sesuai dibawa ke dalam suasana ibadah.

“Masjid sewajarnya kekal sebagai tempat yang mesra kepada semua lapisan masyarakat, namun keterbukaan itu perlu seiring dengan usaha memelihara kesucian dan kehormatan rumah Allah.

“Kesimpulannya, pemakaian baju berunsur lucah atau tidak sopan ketika solat perlu dielakkan, manakala teguran hendaklah mengutamakan pendidikan dan nasihat yang baik tanpa mengetepikan tuntutan syarak serta kehormatan masjid,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top