am@hmetro.com.my
Tumpat: “Baru dua minggu saya hantar anak di bawah jagaan pengasuh, tak sangka berakhir dengan tragedi begini,” kata ibu bayi lelaki berusia 10 bulan yang meninggal dunia ketika dalam jagaan seorang pengasuh di Butterworth, Pulau Pinang, Isnin lalu.
Sharifatul Hafizah Sahul Hamid, 34, berkata, sepanjang dua minggu dalam jagaan pengasuh itu, dia sering menerima gambar dan makluman daripada wanita terbabit mengenai kecederaan yang dialami bayinya, Muhammad Faris Syazwan Muhammad Zulkarnain.
Katanya, pengasuh mendakwa kecederaan dialami dilakukan oleh anak sulungnya berusia dua tahun yang turut diletakkan di bawah asuhannya.
“Hampir setiap hari dia (pengasuh) mengadu dan menghantar gambar termasuk kecederaan di belakang pinggang, kesan gigitan dan lebam pada arwah anak saya.
“Saya dan suami agak musykil dengan tuduhan itu kerana tak mungkin Yusoff (anak sulung) berkasar terhadap adiknya.
“Lagipun dia masih kecil, baru berusia dua tahun.
“Saya rasa tidak sedap hati dan bercadang berhenti menghantar kedua-dua anak serta seorang anak angkat berusia lapan tahun kepada wanita itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Geting, Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.
Sharifatul Hafizah berkata, dia dan suami sepakat bertahan hingga hujung bulan ini sebelum menamatkan perkhidmatan pengasuh berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka tragedi berkenaan menimpa anak ketiganya.
Menurutnya, wanita itu dikenali menerusi Facebook (FB) selepas dia memuat naik hantaran mencari pengasuh untuk menjaga tiga anaknya termasuk seorang anak angkat yang mengalami masalah pembelajaran.
Sharifatul Hafizah berkata, dia mengetahui kejadian daripada rakan yang ditugaskan menghantar serta menjemput ketiga-tiga anaknya di rumah pengasuh pada pagi Isnin lalu.
“Ketika itu saya di tempat kerja dan rakan memberitahu pengasuh menghubunginya memaklumkan anak saya tidak sedarkan diri.
“Rakan segera membawanya ke Klinik Kesihatan (KK) Sungai Dua, di sini.
“Kami terus ke klinik selepas mengetahui berita itu, namun kami dimaklumkan anak sudah tiada.
“Tak sangka saya berdepan ujian berat begini, paling sedih doktor memaklumkan kematian Faris disebabkan pendarahan dalam kepala akibat dipukul objek tumpul,” katanya sambil memberitahu jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Neting, di sini, jam 1 pagi tadi.
Dia berkata, masih terbayang-bayang keletah anaknya yang baru pandai merangkak, malah sehari sebelum kejadian dia sempat merakam gambar Faris.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang pengasuh bagi membantu siasatan kes bayi lelaki berusia 10 bulan meninggal dunia ketika dalam jagaannya.
Pengasuh wanita itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
© New Straits Times Press (M) Bhd




