KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu lebih banyak komponen tren dibekalkan syarikat tempatan supaya perbelanjaan besar dalam pembangunan sektor rel turut memberi limpahan ekonomi kepada industri dalam negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan bukan sekadar mahu menjadi pengguna sistem rel sebaliknya membangunkan industri tempatan melalui rantaian bekalan yang lebih kukuh.
Menurutnya, setiap projek rel memerlukan pelbagai komponen dan perkara itu membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam pembekalan, pemasangan serta penyelenggaraan.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Kita bukan sahaja mahu menjadi pengguna tetapi juga mahu membangunkan industri supaya industri yang melibatkan pembekalan ini dapat menjana ekonomi negara kita.
“Walaupun kebanyakan pembelian melibatkan syarikat luar, apa yang kita mahu ialah proses lokalisasi supaya pemasangan dibuat di sini,” katanya semasa sidang akhbar penganjuran Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga mahu syarikat asing yang memasang tren di Malaysia menggunakan lebih banyak komponen daripada pembekal tempatan.
“Apabila mereka membuat pemasangan di sini, kita mahu komponen-komponen mendapat pembekalan daripada industri tempatan.
“Jadi sekarang ini memang ada usaha untuk lokalisasi supaya ia memberi manfaat dan menjadi pemangkin kepada syarikat tempatan,” katanya.
Dalam pada itu Siew Fook berkata, pembangunan industri rel tempatan penting kerana kerajaan telah membelanjakan dana besar bagi projek rel termasuk landasan, tren dan kemudahan berkaitan.
Menurutnya, projek landasan berkembar Gemas-Johor Bahru sahaja melibatkan perbelanjaan lebih RM10 bilion manakala projek rel lain turut menelan kos berbilion ringgit.
“Pembangunan sektor berkenaan bukan sahaja perlu dilihat dari sudut penyediaan infrastruktur, tetapi juga keupayaannya mewujudkan aktiviti ekonomi dalam rantaian bekalan tempatan.
“Kerjasama antara pemain industri melalui TXA 2026 turut diharap membantu memperkukuh ekosistem tersebut, khususnya dalam sektor rel yang merangkumi 13 daripada 17 memorandum persefahaman (MoU) dan dokumen perjanjian dimeterai hari ini,” katanya. –UTUSAN




