mdroji@bh.com.my
Kuching: Pelajar lelaki berusia 16 tahun dilaporkan membawa mercun dan kapak ke sebuah sekolah swasta di sini, sebelum mencederakan guru wanita di sekolah terbabit, pagi tadi.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak dalam kenyataan petang ini berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku 8.03 pagi apabila Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima maklumat menerusi talian MERS 999.
Menurutnya, maklumat awal mendapati pelajar terbabit membawa mercun sebelum dipercayai mencederakan guru berkenaan menggunakan kapak.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan luka pada tangan dalam kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya, serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan pemilikan bahan letupan.
Katanya, pelajar terbabit sudah ditahan sejurus kejadian itu dan kini ditahan di wad psikiatri Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.
“Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mendapatkan bukti berkaitan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi menghormati proses siasatan dan menjaga kepentingan semua pihak yang terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




