Lima kali kecewa, Xin Yee-Carmen akhirnya bangkit

Lima kali kecewa, Xin Yee-Carmen akhirnya bangkit

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting menamatkan badi lima kejohanan berturut-turut terkandas di pusingan pertama apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis di Arena Grand Paris, hari ini.

Pasangan di ranking ke-27 dunia itu mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan wakil tuan rumah, Margot Lambert-Camille Pognante yang menghuni ranking ke-32 dunia, 21-11, 21-12.

Kemenangan itu pastinya menjadi suntikan keyakinan buat Xin Yee-Carmen selepas melalui episod mengecewakan apabila tersingkir di pusingan pertama Terbuka Jepun, Terbuka China, Terbuka Taiwan, Kejohanan Dunia dan Masters China.

Mereka kini berpeluang meneruskan kemaraan ke suku akhir sekiranya berjaya mengekalkan momentum pada pusingan kedua.

Bagaimanapun, Xin Yee-Carmen berkemungkinan berdepan cabaran lebih getir apabila menunggu pemenang pertemuan antara rakan senegara yang juga pilihan kedua kejohanan, Pearly Tan-M Thinaah, dengan Bengisu Ercetin-Nazlican Inci.

Pertemuan sesama pemain Malaysia itu hanya akan menjadi kenyataan sekiranya Pearly-Thinaah berjaya melepasi halangan pasangan Turkiye berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top