Penggunaan Waze cetus kebimbangan isu keselamatan, kedaulatan data

Penggunaan Waze cetus kebimbangan isu keselamatan, kedaulatan data

razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Risiko pendedahan rutin pergerakan, lokasi sensitif dan aktiviti operasi penjawat awam menjadi antara kebimbangan berkaitan pengumpulan data menerusi aplikasi navigasi seperti Waze.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, kebimbangan persatuan turut membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara kerana data yang dikumpulkan aplikasi itu melangkaui maklumat perjalanan pengguna.

“Waze ini penggunanya mungkin mencecah jutaan orang di Malaysia dan data yang dikumpul bukan hanya data pergerakan kita, tetapi turut membabitkan perkongsian pengguna mengenai kenderaan rosak, kemalangan, perangkap had laju dan sekatan jalan raya oleh pihak penguat kuasa.

“Data-data itu tidak disimpan di negara kita, membataskan lagi apabila ia dikawal selia oleh pihak Israel itu sendiri.

“Walaupun Waze dibeli oleh Google secara komersial, terma penggunaannya menyatakan bahawa data yang dikumpulkan tertakluk kepada perundangan Israel,” katanya ketika ditemubual Buletin Utama TV3.

Justeru, Siraj berpandangan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) melarang semua penjawat awam menggunakan Waze berkuat kuasa serta-merta adalah tepat dan selari dengan gesaan MCCA menerusi siaran media pada 7 Oktober lalu.

Beliau berkata, aplikasi tempatan TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) boleh menjadi pilihan kerana berpusat di Malaysia, sekali gus memberikan kejelasan mengenai perlindungan pengguna dan penyeliaan data mengikut perundangan negara.

“Walaupun TuJu ini di peringkat yang mungkin berbeza dengan Waze dari sudut teknologinya, tetapi ia dibangunkan secara jelas dengan menggunakan teknologi tempatan, dan apabila ia berpusat di Malaysia, segala bentuk data yang dikumpul itu diselia di bawah akta dan perundangan negara kita sendiri,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap lebih ramai pembangun teknologi tempatan tampil menawarkan kepakaran serta memperkenalkan aplikasi masing-masing, termasuk aplikasi navigasi yang kurang dikenali pengguna.

Sementara itu, Pakar Teknologi Maklumat, Dr Sashi Kumar berkata, aplikasi navigasi secara semula jadi sememangnya mengumpul data lokasi sejarah perjalanan, destinasi, dan maklumat peranti.

Katanya, apabila data ini digabungkan dalam tempoh masa yang panjang, ia ada potensi boleh mendedahkan rutin pergerakan, lokasi sensitif, serta aktiviti operasi tertentu.

“Oleh itu, kebimbangan lebih tertumpu kepada aspek tadbir urus data kedaulatan data dan kawalan pihak ketiga berbanding daripada ancaman penggodaman aplikasi itu sendiri.

“Dari segi keselamatan, alternatif-alternatif atau aplikasi-aplikasi yang digunakan sebagai ganti untuk Waze secara amnya memang tiada sebarang aplikasi yang boleh dianggap selamat secara mutlak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, apabila aplikasi yang diselaraskan dengan keperluan keselamatan dan tadbir urus data negara, ia boleh mengurangkan kebimbangan berkaitan kedaulatan data serta kawalan terhadap maklumat pengguna itu.

“Jadi, penilaian perlulah dibuat berdasarkan amalan pengurusan data, perlindungan privasi, dan pematuhan kepada keperluan perundangan serta kawal selia yang sedia ada yang berkaitan dengan apa-apa tujuan penggunaan yang diberi oleh kerajaan,” katanya.

Media hari ini, melaporkan kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan TuJu sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, cadangan itu berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel.

Beliau berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat JKSN Bilangan 3/2026 hari ini bagi meneliti perkembangan ancaman siber serta memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top