Kerajaan negeri kemuka bantahan awal saman pemula 10 bekas EXCO

Kerajaan negeri kemuka bantahan awal saman pemula 10 bekas EXCO

am@hmetro.com.my

Seremban: Kerajaan negeri mengemukakan bantahan awal terhadap saman pemula difailkan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang mencabar pembatalan pelantikan mereka.

Pada prosiding pengurusan kes saman pemula itu di Mahkamah Tinggi Seremban di sini, hari ini, kerajaan negeri selaku defendan kedua, membantah kaedah pemfailan tindakan undang-undang itu.

Melalui prosiding dijalankan secara sidang video di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain, kerajaan negeri yang diwakili peguam, Razlan Hadri Zulkifli menghujahkan ia tidak sepatutnya difailkan melalui saman pemula, sebaliknya menerusi semakan kehakiman.

Bantahan awal itu turut disokong Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan selaku defendan pertama serta pihak pencelah yang dicadangkan, iaitu Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin,

Mahkamah kemudian mengarahkan defendan kedua memfailkan permohonan bantahan awal berkenaan yang ditetapkan bagi pendengaran pada 16 November ini menerusi aplikasi Zoom.

Sementara itu, satu lagi pendengaran berkaitan permohonan Raja Norazli dan DKU Negeri Sembilan yang ingin mencelah dalam saman pemula difailkan 10 bekas EXCO itu berhubung tafsiran Perlembagaan Negeri, ditetapkan pada 2 November ini, juga menerusi sidang video.

Mahkamah hari ini turut dimaklumkan bahawa plaintif yang diwakili peguam, Mohd Hafarizam Harun memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada 14 Oktober lalu, bagi mendapatkan rujukan mengenai soalan berkaitan tafsiran peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan di bawah Perkara 34(2).

Prosiding turut dihadiri peguam Datuk Cyrus Das yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan dan Datuk Muzalmah Mustapha Kamal mewakili kerajaan negeri.

Manakala peguam Steven Thiru mewakili Raja Norazli dan DKU Negeri Sembilan.

Saman pemula itu difailkan pada 5 Oktober lalu menerusi firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan.

Seramai 10 ADUN yang dinamakan sebagai pemohon iaitu Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Mereka memohon deklarasi bahawa pembatalan pelantikan sebagai EXCO yang diwartakan pada 24 September lalu adalah batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa terhadap mereka.

Antara persoalan utama dalam saman pemula berkenaan ialah, sama ada pelantikan anggota EXCO, selain Menteri Besar, boleh dibatalkan melalui penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian tanpa nasihat Menteri Besar.

Pemohon turut memohon mahkamah menentukan tafsiran Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) yang dibaca bersama peruntukan berkaitan, termasuk tatacara pembatalan pelantikan anggota EXCO.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top