Hidap dua kanser, Sazafi bergelut sara keluarga

Hidap dua kanser, Sazafi bergelut sara keluarga

am@hmetro.com.my

Arau: “Sepatutnya tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga mencari nafkah dan menjaga isteri serta anak tetapi saya tidak berdaya selepas disahkan menghidap dua kanser,” kata Sazafi Affian Abd Aziz.

Sazafi, 48, menghidap kanser darah jenis Polycythemia Vera, penyakit jarang berlaku yang menyebabkan sumsum tulang menghasilkan terlalu banyak sel darah merah sejak 2019.

Tahun ini, dia turut disahkan menghidap kanser esofagus sehingga sukar menelan makanan dan kini bergantung pada susu formula khas melalui tiub.

Bekas ejen agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah itu pernah kehilangan isteri akibat leukemia pada 2012.

Dia kemudian menjaga lima anak isterinya itu yang kini berusia 15 hingga 25 tahun, selain mempunyai enam anak hasil perkahwinan dengan isterinya sekarang, Munaa Izzati Aziz, 35.

“Arwah mempunyai lima anak dengan suami terdahulu dan selepas dia meninggal dunia, saya yang menjaga anak-anaknya. Mereka sudah dianggap macam anak sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kaki Bukit, di sini, semalam.

Munaa yang sebelum ini bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital di sini terpaksa berhenti kerja tahun lalu untuk menjaga Sazafi dan menguruskan anak-anak.

Kini, mereka hanya bergantung pada perniagaan nasi lemak yang diusahakan bersama untuk menyara keluarga.

Sazafi berkata, dia perlu berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang setiap tiga minggu bagi menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi, dengan kos perjalanan sekurang-kurangnya RM400 setiap kali.

Malah, dia pernah terlepas rawatan kerana tidak mempunyai wang, walaupun menyedari risiko kanser merebak.

Katanya, dia kini memerlukan sekurang-kurangnya satu tin susu formula khas sehari pada harga RM50 setin kerana tidak boleh makan seperti biasa. Keadaan itu, ditambah masalah jantung serta peningkatan kos rawatan dan perbelanjaan keluarga, semakin membebankan kehidupan mereka.

Sazafi berkata, dua daripada empat anak tirinya menuntut di universiti, manakala dua lagi bersekolah di Tingkatan Tiga dan Lima. Seorang lagi sudah berkahwin, sementara empat anaknya masih bersekolah rendah.

Terdahulu, Sazafi menerima kunjungan Cancer Survivors Malaysia (CSM) yang diketuai pengerusinya, Zuraini Kamal, bagi menyampaikan sumbangan wang tunai, barangan keperluan dapur dan susu formula khas.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Sazafi menerusi talian 010-7956243.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top