Kuala Lumpur: Rusia membebaskan Stephen Hubbard, seorang pesara guru warga Amerika Syarikat (AS) berusia 74 tahun yang berada dalam tahanan sejak 2022 daripada penjara pada Rabu dan membawanya ke Lapangan Terbang Pulkovo St Petersburg untuk diterbangkan balik ke AS, lapor Reuters.
Presiden Rusia Vladimir Putin membuat pengumuman itu semasa pertemuan dengan Utusan Khas AS Steve Witkoff di St Petersburg.
Jurucakap beliau, Dmitry Peskov, kemudiannya memaklumkan bahawa Putin membebaskan Hubbard atas permintaan Presiden AS Donald Trump, selain mengambil kira tahap kesihatan warga Amerika itu yang merosot.
“Presiden menyampaikan ucapan terima kasih beliau, seluruh negara kami mengucapkan terima kasih atas pembebasan Stephen Hubbard,” kata Witkoff kepada Putin dalam pertemuan yang disiarkan menerusi televisyen rasmi kerajaan. “Disebabkan anda, beliau kini dapat pulang ke pangkuan keluarganya.”
Satu rakaman video yang dikongsi dengan Reuters menunjukkan Witkoff dan utusan Kremlin Kirill Dmitriev menemui Hubbard, yang memakai jaket “fleece” gelap dan bercukur rapi di satu lokasi yang tidak didedahkan. Beliau berjabat tangan dengan Witkoff dan berkata: “Terima kasih banyak atas segala usaha anda.”
Anak lelaki Hubbard, Joseph Coleman, memberitahu Reuters menerusi mesej suara bahawa beliau sempat bercakap secara ringkas melalui telefon dengan bapanya sebelum ayahnya menaiki pesawat di Rusia.
“Hari ini beliau nampaknya gembira dan tenang, nada suaranya jelas menunjukkan kegembiraan,” kata Coleman.
Dalam satu kenyataan, peguam Hubbard yang berpangkalan di AS, Martin De Luca, mengucapkan terima kasih kepada Trump, Witkoff dan pegawai-pegawai AS yang lain atas usaha membebaskan Hubbard, sambil menyifatkannya sebagai “hasil kejayaan yang dicapai sepanjang laluan sukar menuju kedamaian.”
Trump mengesahkan pembebasan itu menerusi hantaran di platform Truth Social, dengan menyatakan AS tidak perlu memberikan sebarang balasan sebagai pertukaran.
“Amerika Syarikat, atas dasar penghormatan kepada Presiden Trump, tidak diminta memberikan sebarang balasan – satu situasi yang belum pernah berlaku dengan Rusia. Tiada ‘pertukaran’ yang diperlukan untuk pembebasan ini,” menurut hantaran itu.
“Selamat pulang Stephen, kami amat gembira menerima kepulangan anda,” tulis Trump.
Hubbard, yang berasal dari Michigan, sebelum ini menjalani hukuman penjara enam tahun 10 bulan di Rusia selepas disabitkan kesalahan atas aktiviti tentera upahan dalam perbicaraan tertutup.
Beliau ditahan pada April 2022 di Bandar Izyum, timur Ukraine, di mana pendakwa raya Rusia mendakwa beliau mengawal pos pemeriksaan tentera Ukraine.
Pendakwaan mendakwa Hubbard menyertai unit pertahanan wilayah Ukraine, menerima latihan, senjata serta peluru, dan dijanjikan bayaran US$1,000 (RM4,082) sebulan.
Media rasmi Rusia melaporkan bahawa beliau mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan. Bagaimanapun, De Luca sebelum ini memberitahu Reuters bahawa Hubbard mengesahkan pertuduhan terhadapnya adalah palsu dan beliau tidak pernah menyertai mana-mana unit pertempuran atau tentera.
Dalam satu wawancara bersama Reuters pada 2024, saudara kandung perempuan Hubbard, Patricia Hubbard Fox, turut menafikan dakwaan bahawa saudara kandung lelakinya itu mengangkat senjata untuk mana-mana kerajaan.
Setakat Rabu, Hubbard merupakan satu-satunya tahanan AS di Rusia yang dikategorikan oleh Washington sebagai “ditahan secara tidak sah.”
Pentadbiran Trump pada tahun lepas turut berjaya mendapatkan pembebasan seorang lagi warga Amerika yang dipenjarakan di Rusia, iaitu guru Marc Fogel, yang sebelum ini menjalani hukuman penjara 14 tahun atas kesalahan menyeludup dadah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




